PERSATUAN Penduduk dan Badan Pengurusan Taman Tun Dr Ismail (TTDI RA) menggesa datuk bandar Kuala Lumpur dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) supaya tidak mengemukakan rayuan atas keputusan mahkamah membatalkan projek pembinaan kondominium di Taman Rimba Kiara.
Persatuan itu berkata semua pihak perlu akur kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 27 Januari lalu.
“Sebagai wakil ribuan penduduk Kuala Lumpur yang membayar cukai kami membantah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan/atau YWP menggunakan lebih banyak sumber untuk merayu keputusan mahkamah,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.
“DBKL adalah agensi kerajaan dan perlu memainkan peranan untuk menjaga kepentingan rakyat. Kami menggesa DBKL melaksanakan peranan itu dan bukan membelanjakan sumber berharga untuk melawan kehendak rakyat.
“Kami menggesa Menteri Wilayah Persekutuan (Annuar Musa), yang juga pengerusi YWP, mengutamakan rumah mampu milik untuk 98 keluarga yang tinggal di rumah panjang.”
Minggu lalu, panel hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim Thiam Suan, sebulat suara memutuskan perintah pembangunan yang sebelum ini dikeluarkan kepada YWP dan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd untuk membangunkan sebahagian Taman Rimba Kiara batal dan tidak sah.
Panel memutuskan perintah pembanguan yang dikeluarkan pada 2017 diketepikan kerana penduduk mempunyai kedudukan perundangan (locus standi) untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan DBKL.
Hakim juga berkata terdapat kekhilafan boleh dirayu dalam kes itu yang mewajarkan mahkamah campur tangan.
TTDI RA seterusnya berkata mereka bersedia untuk bertemu Annuar untuk membincangkan rancangan perumahan kekal seperti yang dicadangkan persatuan itu sebelum ini. – 6 Februari, 2021.
Komen