Netanyahu janji lantik menteri Muslim pertama


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berjanji akan meletakkan calon Muslim pertama sebagai anggota Kabinet jika partinya Likud memang pada pilihan raya Mac. – Gambar EPA, 6 Februari, 2021.

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam berkata beliau akan melantik Muslim pertama sebagai anggota Kabinet jika partinya Likud memang pada pilihan raya Mac nanti.

“Saya bangga bahawa Nail Zoabi, seorang pendidik terkemuka yang telah lama berbakti untuk masyarakat Arab, akan menyertai sayap kanan parti Likud,” umumnya menerusi video yang disiarkan di Facebook.

“Saya akan calonkan beliau sebagai menteri untuk kemajuan masyarakat Arab dalam kerajan saya.”

Video tersebut bersertakan keterangan bahawa ini kali pertama calon Muslim Israel menyertai parlimen Likud. Beberapa orang Arab Druze pernah menjadi ahli parlimen Likud sebelum ini.

Pengumuman Netanyahu itu tepat pada masanya dengan pembelotan pergerakan Raam dari Joint List, gabungan parti-parti Arab yang menang 15 kerusi Knesset pada pilihan raya Mac tahun lalu.

Netanyahu juga baru-baru ini melancarkan kempen untuk menarik undi masyarakat Arab Israel dan melawat daerah-daerah majoriti orang Arab. 

Masyarakat Arab Israel adalah rakyat Palestin yang masih menetap di Israel selepas perang 1948. Jumlah mereka sekitar 20% daripada sembilan juta penduduk di Israel.

Menurut tinjauan Israel Democracy Institute (IDI) sebanyak 66% orang Arab Israel melihat usaha Netanyahu untuk memikat hati mereka tidak ikhlas. – AFP, 6 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen