HOSPITAL swasta di negara ini sudah mula merawat pesakit Covid-19 ketika kes terus meningkat, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata menurut data Kementerian Kesihatan, seramai 86 pesakit ketika ini sedang mendapatkan rawatan di pusat kesihatan swasta di seluruh negara.
Menurutnya seramai 24 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dan tujuh memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Di Johor ada lapan kes, dua di ICU; Selangor – 48 kes (11 di ICU), Kuala Lumpur -26 kes (11 di ICU) dan di Perak ada empat kes,” katanya pada taklimat khas menerusi Zoom hari ini.
Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata bahawa kes-kes tersebut tidak dirujuk ke hospital swasta oleh kementerian tetapi merupakan kemasukan sendiri.
Beliau berkata dari 210 hospital swasta di negara ini, sebanyak 129 berkemampuan untuk merawat kes Covid-19 di mana 100 daripadnaya bersetuju untuk merawat pesakit koronavirus.
Dr Noor Hisham berkata sehingga kini terdapat 1,349 katil hospital, 65 katil ICU dan 64 alat bantuan pernafasan tersedia di 100 hospital berkenaan.
Sejak wabak itu melanda, hospital kerajaan sudah merawat pesakit Covid-19 secara eksklusif.
Malaysia hari ini melaporkan 3,391 kes baharu menjadikan jumlah kes aktif di negara ini sebanyak 48,751.
Hospital kerajaan semakin sesak apabila Malaysia melaporkan lebih 3,000 kes setiap hari dalam beberapa minggu terakhir.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada 17 Januari lalu bahawa menghantar pesakit ke hospital swasta akan membantu mengurangkan tekanan terhadap hospital awam dan petugas kesihatan yang terbeban. – 5 Februari, 2021.
Komen