PM sifatkan lawatan rasmi ke Indonesia amat berjaya


Perdana menteri Muhyiddin Yassin bersyukur kerana walaupun lawatan ke Indonesia hanya singkat, tetapi ia memberi banyak faedah kepada kedua-dua negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2021.

WALAUPUN lawatan rasmi ke Indonesia tidak sampai 24 jam, Muhyiddin Yassin menyifatkannya sebagai amat berjaya.

Perdana menteri bersyukur kerana walaupun lawatan singkat, tetapi ia memberi banyak faedah kepada kedua-dua negara.

“Saya rasa sukacita kerana lawatan ini boleh dikatakan amat berjaya,” katanya pada sidang media di akhir lawatan itu.

Muhyiddin tiba di ibu negara ini petang semalam, dan lawatan tidak sampai 24 jam itu dibuat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dengan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19.

Muhyiddin berkata banyak perkara yang dapat dibincangkan dalam pertemuan empat mata selama sejam dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan mendapat persetujuan bersama.

“Lawatan cukup berhasil, persefahaman terjalin. ‘Body language’ (bahasa tubuh) presiden sangat mesra. 

“Sampai beliau (Jokowi) kata kalau ada apa-apa boleh ‘call’ tiap-tiap hari pun tak apa,” kata perdana menteri.

Muhyiddin berkata hasil pertemuan secara bersemuka itu mungkin sukar dicapai sekiranya pertemuan dibuat secara maya sahaja.

“Saya boleh rasa kehangatan hubungan dengan presiden semasa berbual, berjalan walaupun tidak berjabat tangan,” kata Muhyiddin.

Perbincangan kedua-dua pemimpin itu menyentuh isu dua hala, serantau dan antarabangsa, termasuk isu perdagangan, pelaburan, tenaga kerja, alam sekitar, pandemik Covid-19, nasib pekebun kecil dan nelayan.

Semasa di Istana Merdeka, Muhyiddin turut berjumpa secara berasingan dengan pemimpin Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Ibu Megawati Soekarnoputri, yang merupakan bekas Presiden Indonesia.

Mereka berbincang mengenai kerjasama politik antara parti itu dengan Perikatan Nasional.

Pertemuan itu turut dihadiri Jokowi. – Bernama, 5 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen