Hukuman lebih berat terhadap mereka ingkar SOP, kata perdana menteri


Ravin Palanisamy

Penguatkuasaan SOP yang lebih ketat dilaksanakan susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2021.

PUTRAJAYA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi mengekang pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata pasukan petugas khas yang dianggotai pelbagai agensi, kementerian ditubuh pantau pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memandangkan Malaysia juga di bawah perintah darurat, Muhyiddin berkata Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah meneliti peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 yang perlu dipinda untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan cepat diambil.

Antaranya ialah:

i. Arahan penutupan serta merta premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan;

ii. Tindakan perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan;

iii. Tindakan perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan;

iv. Tindakan kompaun yang lebih tinggi kepada pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran;

v. Tindakan penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan dan SOP; dan

vi. Tindakan tatatertib ke atas Penjawat Awam yang tidak mematuhi Peraturan dan SOP termasuk kepada Ketua Jabatan berkaitan
pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah.

Muhyiddin berkata pendekatan ini perlu bagi mengelakkan total lockdown, yang akan memberi kesan kepada ekonomi kehidupan dan sumber pendapatan.

“Saya menyeru pihak industri dan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.– 4 Februari, 2021.

Berita penuh di sini. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen