Bekas peguam negara buat laporan polis terhadap Thomas 


Noel Achariam

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini untuk membuat laporan terhadap Tommy Thomas.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Februari, 2021.


BEKAS peguam negara Mohamed Apandi Ali tampil mempertahankan kakitangan Jabatan Peguam Negara serta pihak lain yang dianiaya, difitnah dan dihina oleh Tommy Thomas menerusi memoir yang menerima kritikan pelbagai pihak.

Apandi berkata mereka sedang berada dalam dilema yang mana mereka mahu membela diri tetapi ini bermaksud mereka terpaksa juga melawan bekas ketua mereka (bekas peguam negara Tommy Thomas).

“Apa yang terkandung dalam buku Tommy Thomas menunjukkan sifat beliau yang memandang rendah dan tidak menghargai individu-individu yang merupakan tulang belakang perundangan negara,” kata Apandi dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada petugas media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Dalam laporannya, Apandi mendakwa Thomas memfitnahnya dalam memoirnya My Story: Justice in the Wilderness.

Apandi turut memuji pegawai Jabatan Peguam Negara yang tidak kenal penat dan sanggup kerja tanpa mengenal masa.

Tambahnya beliau juga tidak akan mendedahkan apa sahaja cerita atau maklumat yang diperoleh ketika memegang jawatan sebagai peguam negara. 

“Walaupun saya dilemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah semasa saya menjadi peguam negara, saya tidak akan sekali-kali melepaskan satu pun cerita atau maklumat, walaupun dalam buku-buku memoir saya kerana semua yang saya tahu adalah rahsia negara.

Apandi percaya jenayah fitnah terhadapnya merupakan satu kesalahan di bawah Sekyen 500 Kanun Keseksaan.

“Saya turut menyatakan Thomas mendedahkan beberapa perkara sulit yang melibatkan rahsia negara. 

“Ini termasuk perkara berkaitan hal ehwal negara, perbincangan kabinet dan mengenai jawatan peguam negara.”

Tambahnya pendedahan dalam buku berkenaan, pada pandangannga merupakan kesalahan di bawah seksyen B Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

“Saya percaya bekas peguam negara tertakluk kepada sumpah kerahsiaan yang dibuat ketika memegang jawatan itu.”

Sebelum ini bekas peguam cara negara III Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan kerana mendakwa Thomas memfitnah dirinya dan pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara, yang dituduhnya malas dan tidak cekap menjalankan tugas.

Laporan polis itu turut merujuk tulisan Thomas mengenai penglibatan Hanafiah dalam penyediaan kes pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung jenayah melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Beliau meminta polis menyiasat Thomas mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan atas jenayah fitnah terhadap dirinya dan jabatan berkenaan.

Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Fadzil Ahmat berkata pihaknya membuka siasatan terhadap Thomas susulan laporan yang dibuat oleh bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara terhadapnya semalam.

“Kita akan panggil (Thomas) secepat mungkin untuk rakam percakapan beliau,” katanya.– 4 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen