Benarkan kedai gunting rambut, penjagaan diri, cuci kereta beroperasi, gesa pengasas Pemuda Negara 


Kedai gunting rambut merupakan antara perniagaan yang akan terjejas sekiranya tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2021.

PUTRAJAYA digesa untuk mempertimbangkan pembukaan semula operasi kedai gunting rambut, penjagaan diri, kedai jahitan dan perkhidmatan mencuci kereta ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Afif Bahardin. 

Adun Seberang Jaya yang juga pengasas Pemuda Negara itu berkata sektor ini yang banyak melibatkan pengusaha di kalangan warga tempatan adalah satu sektor yang ‘vulnerable’ atau terdedah kepada risiko gulung tikar apabila mereka tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP ini.

“Kerajaan tidak boleh lagi hanya membuat andaian semata-mata bahawa mereka ini adalah punca merebaknya jangkitan Covid-19.

“Sewajarnya sektor yang hampir keseluruhannya didominasi oleh golongan orang muda ini dipertimbangkan segera oleh Kerajaan untuk dibenarkan beroperasi semula dengan menggariskan pelaksanaan SOP yang lebih ketat sekiranya perlu.

“Langkah sebelum ini yang menutup terus operasi perniagaan golongan ini bukan sahaja mengakibatkan mereka kerugian, tetapi masa sama akan mewujudkan masalah aliran tunai dan seterusnya menjerumus golongan ini kepada bebanan hutang dan risiko bangkrap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika mengumumkan PKP 2.0, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kedai gunting rambung dan salon tidak akan dibenarkan beroperasi kerana perkhidmatan ini melibatkan kontak fizikal dan memberi risiko penularan Covid-19.

Ismail bagaimanapun berkata pertimbangan untuk membenarkan perkhidmatan ini beroperasi akan diuat sekiranya jumlah kes Covid-19 di negara ini menunjukkan trend menurun.

Afif bagaimanapun mencadangkan kerajaan perlu menjadikan sektor ini sebagai penanda aras atau contoh kepada sektor perniagaan yang lain dalam memastikan operasi mereka benarbenar mengikut SOP.

“Sekiranya mereka berjaya, kami percaya sektor lain tidak punya alasan untuk tidak patuhi SOP sekaligus mendokong usaha Kerajaan hari ini dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Kami yakin bahawa para pengusaha sektor perusahaan ini akan memberikan komitmen dan disiplin yang tinggi kepada SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan dalam menjalankan kegiatan ekonomi mereka.

“Kami menggesa sekali lagi agar Kerajaan terutamanya Majlis Keselamatan Negara dapat mempertimbangkan untuk menyegerakan pembukaan semula operasi
perusahaan gunting rambut, jahitan dan cucian kereta ini bagi memastikan sumber pendapatan mereka dan nasib para pekerja sektor ini terus dibela dan dijamin,” tambahnya. – 4 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen