LEBIH 10 juta penduduk di seluruh Britain telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, menurut data rasmi kerajaan semalam.
Kementerian Kesihatan negara itu berkata seramai 10,021,471 orang telah diberi suntikan sejak program vaksinasi dilancarkan pada awal Disember lalu, manakala 498,962 telah menerima dos kedua.
Perdana Menteri Britain Boris Johnson, yang mensasarkan 15 juta penduduk disuntik vaksin menjelang pertengahan bulan ini, memuji pencapaian setakat ini.
“Ada ramai orang dan kumpulan yang terlibat dalam program vaksinasi UK,” katanya, merujuk kepada para saintis, ahli farmasi sehinggalah pemandu penghantaran.
“Kita berterima kasih atas usaha mereka - terbesar dalam sejarah Perkhidmatan Kesihatan Nasional Britain (NHS) - terhadap apa yang telah kita capai hari ini.”
Setakat semalam Britain merekodkan 1,322 kematian baharu akibat Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 109,335.
Manakala sebanyak 19,202 lagi kes positif dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan hampir 3.9 juta orang dijangkiti virus Covid-19.
Britain menjadi negara pertama yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer/BioNTech, selain vaksin yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Oxford University.
Vaksin ketiga, dibangunkan Moderna, juga telah diluluskan dan akan mula diberi kepada orang ramai dalam beberapa bulan akan datang.
Pengawal selia perubatan negara itu kini sedang mengkaji data percubaan vaksin keempat, yang dibangunkan oleh Novavax. – AFP, 4 Februari, 2021.
Komen