PUTRAJAYA tiada “strategi jelas” mengenai program vaksinasi besar-besaran yang akan memberi perlindungan terhadap Covid-19 yang sudah meragut hampir 800 nyawa di negara ini, kata Anwar Ibrahim.
Pemimpin pembangkang itu berkata kerajaan lambat membuat keputusan mengenai vaksin sehingga negara jiran, Singapura dan Indonesia sudah mula memberikan suntikan kepada rakyat mereka.
“Mengapa jiran kita berjaya mengambil tindakan awal? Mereka sudah mula memberi vaksin kepada rakyatnya.
“Malah, mereka sudah masuk ke tahap kedua program vaksinasi. Tetapi kita ketinggalan,”katanya semasa penstriman langsung di Facebook mengenai pengurusan wabak oleh kerajaan hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata rakyat tidak berminat dengan kenyataan sedikit demi sedikit mengenai rancangan vaksinasi.
“Kami tidak berminat dengan kenyataan. Pasti ada strategi yang jelas,” katanya dan menuntut agar kerajaan menggariskannya.
Kerajaan mesti menjelaskan siapa yang akan diberi vaksin terlebih dahulu.
“Berapa kuantiti (dos yang ditempah) dan berapa harganya?”
Anwar berkata, mesti ada juga ada ketelusan mengenai pemberian kontrak dalam pembelian vaksin.
Masalahnya sekarang ialah semua perkara dilakukan secara senyap “dengan alasan kecemasan”.
Kementerian yang berbeza “melakukan perkara mereka sendiri, membuat keputusan sendiri dalam pemberian tender”.
“Semua mahukan sebahagian kontrak tanpa memikirkan rakyat. Ini sangat membimbangkan,” katanya, kerana tadbir urus yang baik akan dipersoalkan.
Anwar berkata ketiadaan ketelusan mungkin menyumbang kepada indeks persepsi rasuah negara yang jatuh dari tangga ke-51 kepada ke-57 tahun lalu.
Katanya, lonjakan kes disebabkan oleh kelemahan pengurusan wabak..
Anwar juga menggesa kerajaan menangani keluhan petugas kesihatan, seperti mengapa elaun khas mereka belum dibayar.
Ia sesuatu yang tidak boleh dimaafkan kerana meletakkan mereka dalam keadaan begitu.
“Ini adalah orang yang telah memberikan nyawa mereka untuk membantu rakyat.”
Presiden PKR mencadangkan agar kerajaan mengambil lebih banyak orang untuk meringankan bebanan petugas barisan hadapan.
Ujian mandatori juga harus diperluas ke kumpulan berisiko tinggi, tambahnya.
“Kami tidak memperlekehkan usaha kerajaan,” katanya, menolak kritikan terhadap tindakan pembangkang.
“Kami hanya bimbang kerana keadaan semakin buruk.” – 3 Februari, 2021.
Komen