ARAB Saudi pada Selasa menggantung kemasukan dari 20 negara, antaranya beberapa negara jiran hingga ke Amerika Syarikat, dalam usaha membendung peningkatan jangkitan koronavirus.
Kementerian Dalam Negeri mengumumkan “penggantungan sementara” akan berkuat kuasa mulai jam 9.00 malam (1800 GMT) pada Rabu, menurut Badan Akhbar Saudi rasmi.
Larangan itu termasuk negara jiran Mesir dan Emiriah Arab Bersatu, dan di wilayah lebih jauh, Lubnan dan Turki.
Di Eropah, larangan itu merangkumi Britain, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Portugal, Sweden dan Switzerland.
Di tempat lain, selain Amerika Syarikat (AS), ia turut termasuk Argentina, Brazil, Pakistan, India, Indonesia, Jepun, Pakistan dan Afrika Selatan.
Warga Arab Saudi, serta diplomat dan pekerja kesihatan yang berasal dari negara berkenaan, akan diizinkan masuk “berdasarkan langkah pencegahan”, tambahnya.
Pengumuman itu dibuat selepas Menteri Kesihatan Saudi Tawfiq al-Rabiah memberi amaran pada Ahad yang sekatan koronavirus baharu mungkin dikenakan jika warganegara dan penduduk tidak mematuhi larangan kesihatan.
Arab Saudi melaporkan lebih 368,000 kes koronavirus dan hampir 6,400 kematian, yang tertinggi di antara negara Arab Teluk.
Jangkitan harian menurun di bawah 100 pada awal Januari, berbanding kemuncak hampir 5,000 pada Jun lalu.
Namun, jangkitan harian baru meningkat tiga kali ganda sejak itu, dengan 310 kes dilaporkan oleh kementerian kesihatan pada Selasa.
Arab Saudi melancarkan kempen vaksinasi koronavirus pada 17 Disember selepas menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech.
Kementerian kesihatan berkata program ini akan dilancarkan dalam tiga fasa, bermula dengan individu yang berusia lebih 65 tahun dan mereka yang menderita penyakit kronik, atau berisiko tinggi dijangkiti.
Bagaimanapun, bulan lalu kementerian berkata pihaknya terpaksa memperlahankan pelaksanaannya kerana kelewatan penghantaran vaksin. – AFP, 3 Februari, 2021.
Komen