AstraZeneca beri jaminan bekalan vaksin di Malaysia


Ragananthini Vethasalam

AstraZeneca memberi jaminan penghantaran vaksin ke Malaysia akan dibuat dalam masa ditetapkan. – Gambar AFP, 3 Februari, 2021.

PERBALAHAN mengenai bekalan vaksin Covid-19 di Kesatuan Eropah (EU) tidak akan mempengaruhi penghantaran ke Malaysia, kata jurucakap AstraZeneca.

“AstraZeneca sangat komited untuk menjayakan penghantaran vaksin di Malaysia secepat mungkin. Kami bekerjasama dengan kerajaan bagi dos vaksin melalui rangkaian bekalan global kami.

“Situasi di Eropah tidak memberi kesan kepada Malaysia,” kata jurucakap itu kepada The Malaysian Insight ketika perselisihan antara syarikat dan EU berhubung kelewatan penghantaran vaksin ke negara anggota.

Gergasi farmaseutikal global itu memberitahu EU pada 22 Januari yang ia tidak dapat memenuhi sasaran penawaran yang dipersetujui hingga akhir Mac.

Kemudian, timbul berita yang syarikat itu menghadapi masalah bekalan yang lebih meluas.

Namun, pada 31 Januari, syarikat itu komited untuk membekalkan 9 juta dos vaksin ke EU menjelang Mac.

Pada 25 Januari, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semasa sesi dialog Zoom khas dengan media yang AstraZeneca belum menyerahkan dokumennya kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Namun, syarikat itu tidak memberikan jawapan secara langsung bagi hal tersebut kecuali berkata pihaknya komited untuk menyerahkan kepada NPRA data tinjauan yang sedang dibuat.

“Kami bekerjasama dengan NPRA bagi sokongan pertukaran maklumat untuk membuat keputusan bebas.

“Kami akan terus bekerja dengan pantas untuk memastikan akses yang meluas dan adil terhadap vaksin untuk semua rakyat Malaysia sepanjang wabak ini,” tambahnya.

Malaysia membeli 12.8 juta dos vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca-Oxford University, dengan 6.4 juta dos akan dibeli melalui kemudahan Covax dan selebihnya melalui rundingan langsung dengan syarikat itu.

Noor Hisham berkata negara dijangka menerima kumpulan pertama vaksin koronavirus Pfizer-BioNTech pada 26 Februari.

Putrajaya memperuntukkan dana sebanyak RM2.05 bilion untuk pemerolehan vaksin Covid-19, yang merangkumi perjanjian dengan Covax, Pfizer, AstraZeneca, Sinovac dan Pusat Nasional Gamaleya Rusia. – 3 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen