Pelan imunisasi Covid-19 diteruskan, kata Khairy 


Ragananthini Vethasalam

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata beliau menerima jamina daripada duta EU dan Belgium bahawa vaksin Pfizer akan dihantar ke Malaysia mengikut jadual bermula bulan ini. – Gambar EPA, 2 Februari, 2021.

PROGRAM imunisasi Covid-19 akan diteruskan sebagaimana yang dirancang, kata Khairy Jamaluddin selepas menerima jamina daripada Kesatuan Eropah dan duta Belgium berhubung kawalan eksport untuk vaksin. 

“Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Covid-19 (JKJAV) mengambil maklum pengumuman mengenai kawalan eksport oleh Kesatuan Eropah terhadap vaksin Covid-29 yang dikeluarkan di EU,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam satu kenyataan. 

“Hari ini saya mengadakan perbincangan dengan duta besar EU ke Malaysia Michalis Rokas dan Duta Belgium ke Malaysia Pascal H. Gregoire untuk penjelasan lanjut berhubung status penghantaran vaksin ke Malaysia,” tambahnya. 

Beliau berkata Gregoire memberi jaminan Pfizer boleh memohon kebenaran eksport dan vaksin akan dihantar secara berjadual ke Malaysia bermula bulan ini sekaligus memenuhi Perjanjian Pembelian Lanjutan Putrajaya dengan pengeluarnya.

Vaksin Pfizer dihasilkan di Puurs, Belgium. 

Putrajaya meminta Pfizer untuk memohon kelulusan eksport segera dari Brussels. 

“Untuk rekod, penghantaran satu juta dos pertama (untuk 500,000 penerima) vaksin Pfizer akan digunakan pada Tahap Satu inokulasi untuk petugas barisan depan dan akan dihantar secara berperingkat pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Dengan jaminan Duta Besar EU dan Belgium, rancangan imunisasi Covid-19 diharapkan dapat diteruskan mengikut perancangan, tambahnya.

Khairy yang juga pengerusi bersama JKJAV mengatakan bahawa Kedutaan EU dan Kedutaan Belgium ke Malaysia akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu. – 2 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen