Jumlah kes baharu Covid-19 menurun, 21 kematian dicatat


Ravin Palanisamy

Dr Noor Hisham berkata, kematian yang dicatatkan hari ini terdiri dari 20 orang warga Malaysia dan seorang warga asing. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh, 2 Februari, 2021.

JUMLAH kes jangkitan baharu Covid-19 mencatatkan penurunan bagi hari kedua berturut-turut dengan catatan 3,455 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, ketua pengarah kesihatan itu berkata dalam tempoh yang sama, negara turut melaporkan 21 kematian.

Dr Noor Hisham berkata, kematian yang dicatatkan hari ini terdiri dari 20 orang warga Malaysia dan seorang warga asing.

Daripada kes baharu yang dilaporkan, 3,450 kes adalah penularan tempatan dan lima kes import.

“Dari 3,450 kes penularan tempatan, 2,068 adalah penduduk tempatan dan 1,382 adalah warga asing.

“Bagi lima kes yang diimport, tiga orang melibatkan rakyat Malaysia dan dua kes melibatkan warga asing,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor sekali lagi melaporkan kes tertinggi mengikut negeri dengan 1,145 kes jangkitan, diikuti Johor dengan 708 kes dan Kuala Lumpur dengan 619 kes. 

Dengan kes terbaharu itu, Selangor hari ini melepasi 70,000 kes. 

Ia merekodkan 70,441 kes, diikuti Sabah dengan 49,420 kes dan Kuala Lumour dengan 26,922 kes. 

Selangor, Johor, Kuala Lumpur berada di tangga tertinggi kes mengikut negeri untuk empat hari berturut-turut. 

Selain kes baharu, Malaysia hari ini melaporkan 3,661 kes pulih, menjadikan jumlah kumulatif 173,990. 

Jumlah kes aktif di negara ini kini 47,847, yang mana 327 dirawat di unit rawatan rapi dan 145 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut mengenai kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata 12 kematian dilaporkan di Selangor, empat di Sabah, masing-masing dua di Johor dan Kuala Lumpur serta satu kes di Kedah. 

13 mangsa adalah lelaki dan lapan wanita termasuk seorang warga asing. 

Mangsa paling tua dilaporkan hari ini berusia 83 tahun di Selangor manakala yang paling muda 36 tahun yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi, diabetis, penyakit buah pinggang kronik dan masalah jantung turut meninggal di Selangor. 

Malaysia sebelum ini merekodkan kes kematian tertinggi pada 22 Januari iaitu 18 kes. – 2 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen