PROSEDUR operasi standard (SOP) lebih ketat akan dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua bagi membolehkan aktiviti ekonomi diteruskan untuk memastikan perniagaan mampu bertahan.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata SOP tambahan itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Terdahulu beliau mengumumkan PKP dilanjutkan hingga 18 Februari.
“Sebagai contoh mengehadkan jumlah orang masuk ke dalam pasar raya bagi mengelakkan berlakunya perkumpulan ramai.
“Serentak dengan sambungan PKP ini kita akan meneruskan SOP-SOP yang lebih ketat lagi yang akan dikeluarkan oleh MKN,” katanya pada sidang media hari ini.
Lanjutan PKP bermula pada 5 Februari, sehari selepas perintah itu dijadualkan tamat di semua negeri kecuali Sarawak yang dikenakan PKPB.
Perjalanan rentas negeri dan aktiviti sosial dilarang di bawah PKP, walaupun lebih banyak aktiviti ekonomi dan perniagaan dibenarkan beroperasi.
Ismail Sabri berkata PKP kali ini tidak akan sama seperti yang dikuatkuasakan tahun lalu kerajan kerajaan mahu bantu sektor ekonomi, terutamanya perniagaan kecil.
“Saya terima banyak permintaan daripada pemilik perniagaan. Kami faham dengan kesusahan yang dihadapi.
“Bagaimanapun setiap permohonan, misalnya kedai cuci kereta, kedai gunting rambut, salun serta lain-lain sektor hanya akan diluluskan setelah penilaian risiko dibuat oleh KKM sebelum dibentangkan di Sidang Khas MKN untuk kelulusan,” katanya. – 2 Februari, 2021.
Komen