Kes baharu Covid-19 menurun selepas tiga hari


Ravin Palanisamy

Daripada kes baharu yang dicatatkan hari ini, 4,205 adalah penularan tempatan sementara sembilan lagi adalah kes import. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2021.

SELEPAS tiga hari berturut-turut melaporkan lebih dari 5,000 kes baharu Covid-19, Malaysia hari ini mencatat 4,214 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada kes baharu yang dicatatkan hari ini, 4,205 adalah penularan tempatan sementara sembilan lagi adalah kes import.

“Daripada kes penularan tempatan, 2,645 kes melibatkan rakyat Malaysia dan 1,590 adalah warga asing.

“Bagi sembilan kes import, hanya satu kes melibatkan warga asing,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.
 
Jumlah kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini mencecah 219,173.

Sepuluh kematian turut dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 770 orang.

Tiga kematian berlaku di Negeri Sembilan, dan masing-masing satu di Johor, Selangor, Labuan, Sarawak, Perak, Melaka dan Terengganu.

Lapan dari sepuluh mangsa hari ini mengalami mempunyai sejarah penyakit kronik, sementara dua mangsa tertua, seorang wanita berusia 87 dan seorang lelaki berusia 80 tahun tidak mempunyai rekod penyakit lampau.

Berhubung penularan kes baharu hari ini, Selangor sekali lagi mencatatkan angka kes tertinggi mengikut negeri dengan 1,362 kes, diikuti Johor dengan 1,068 dan Kuala Lumpur sebanyak 702. – 1 Februari, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen