SITUASI wabak Covid-19 di Terengganu masih lagi terkawal, meskipun negeri itu mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian yang tertinggi di negara ini minggu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam di Terengganu bagi membendung penularan pandemik itu.
“Walaupun Terengganu sebelum ini negeri hijau tetapi aktiviti merentas negeri menjadikan kes bertambah dan Rt atau kadar kebolehjangkitan meningkat tetapi jumlah kes masih terkawal,” katanya kepada pemberita selepas menyertai mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, hari ini.
Selasa lalu, Noor Hisham memaklumkan Terengganu mencatatkan Rt harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.36 setakat 25 Januari lalu.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau, Melaka merekodkan Rt kedua tertinggi pada 1.28, diikuti Sarawak (1.25), Putrajaya (1.19), Perak (1.17), Kedah (1.15), Perlis (1.15), Kuala Lumpur (1.12), Labuan (1.11) Pahang (1.1), Selangor (1.1) dan Kelantan (1.09).
Johor, Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula merekodkan Rt paling rendah, masing-masing pada 1.04, 1.03, 1.01 dan 1.0, manakala Rt untuk seluruh negara pula ialah 1.04, katanya.
Berdasarkan rekod, sehingga semalam Terengganu mencatatkan 2,142 kes positif Covid-19 termasuk 83 kes baharu.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai 48 petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dijangkiti Covid-19, Noor Hisham berkata sehingga kini proses pembersihan dan sanitasi di kawasan yang terlibat di hospital itu masih dijalankan.
“Kita juga akan menyokong dan pastikan petugas kita yang dijangkiti Covid-19 akan bersemangat kembali untuk berkhidmat,” katanya.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus dalam kenyataan kelmarin berkata seramai 48 petugas kesihatan di HSNZ dijangkiti Covid-19 dan kesemua mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.
Siasatan untuk mengenal pasti punca jangkitan sedang dijalankan dan kontak rapat kes juga telah disaring dan diasingkan. – Bernama, 1 Februari, 2021.
Komen