Pusat jagaan warga emas antara 10 kluster Covid-19 terbaharu


Dikenali sebagai kluster Jalan Ithnin di Kg Ungku Mohsin, Johor Bahru, kluster itu kini mencatatkan 67 orang yang dijangkiti daripada 294 yang disaring. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2021.

SEPULUH kluster Covid-19 baharu telah dikesan hari ni di mana salah satunya melibatkan pusat jagaan warga emas di Johor Bahru, kata Kementerian Kesihatan.

Dikenali sebagai kluster Jalan Ithnin berdasarkan lokasi pusat jagaan itu di Kg Ungku Mohsin, Johor Bahru, kluster itu kini mencatatkan 67 orang yang dijangkiti daripada 294 yang disaring.

Warga emas dianggap berada dalam kategori berisiko tinggi terkena jangkitan Covid-19.

Sebagaimana trend kluster terkini, sebahagian besar kluster baharu hari ini, tujuh dari sepuluh, melibatkan tempat kerja.

Dari 10 kluster baharu, empat, termasuk Jalan Ithnin, berasal dari Johor.

Selangor dan Perak masing-masing dua. Kuala Lumpur dan Melaka masing-masing satu.

Kluster lain di Johor adalah:

– Jalan Rami Tiga di Muar, melibatkan saringan yang disasarkan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Jorak, Bukit Pasir. Ketika ini terdapat 47 kes.

– Jalan Mega, melibatkan sebuah kilang di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Iskandar Puteri, di mana 25 orang positif.

– Sri Plentong, sebuah kilang di Taman Perindustrian Sri Plentong, Masai, Johor Bahru, di mana saringan yang disasarkan dibuat di mana 19 orang didapati positif.

Di Selangor, dua kelompok tersebut adalah:

– Jalan Kewajipan, yang dinamai sempena lokasi asrama pekerja di daerah Petaling, di mana 125 positif dari 500 yang disaring.

– Persiaran Sabak, dinamakan dari sebuah kilang di Sabak Bernam, Shah Alam, di mana 44 positif daripada 440 yang disaring.

Kluster di Perak adalah:

– Jalan Tronoh, kluster komuniti dinamakan selepas kawasan perumahan kes indeks di Bota, Perak Tengah. Kes indeks adalah pesakit dengan jangkitan pernafasan akut teruk dan dilaporkan positif Covid-19 pada 26 Januari. Kluster itu kini melaporkan 23 kes positif.

– Bercham Raya, dikategorikan sebagai kluster berisiko tinggi yang tersebar di seluruh Kinta dan Kuala Kangsar dengan 11 kes positif. Nama itu diambil dari alamat kediaman kes indeks yang memiliki “penyakit seperti influenza” dan dilaporkan positif Covid-19 pada 23 Januari.

Satu-satunya kluster Kuala Lumpur hari ini adalah tapak pembinaan Jalan Chulan di Lembah Pantai. Kluster itu dikesan melalui pemeriksaan disasarkan dengan 151 orang dijangkiti.

Satu-satunya kelompok Melaka hari ini adalah kluster Jalan Masjid Tanah di Alor Gajah, hasil dari pemeriksaan saringan yang disasarkan di sebuah kilang, di mana 69 orang dijangkiti Covid-19. – 31 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen