Pelajar IPT berkeperluan boleh balik kampus 1 Mac, umum kementerian


Kebenaran itu diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) hasil rundingan dan perbincangan pihak kementerian dengan wakil pelajar, pihak pengurusan IPT dan Kementerian Kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2021.

PELAJAR universiti yang perlu menjalani kursus di makmal dan bengkel atau secara klinikal dan praktikal adalah antara enam kumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dibenarkan untuk pulang ke kampus bermula 1 Mac ini, umum Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kebenaran itu diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) hasil rundingan dan perbincangan pihak kementerian dengan wakil pelajar, pihak pengurusan IPT dan Kementerian Kesihatan.

“Pihak MKN telah bersetuju untuk membenarkan enam (6) kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac 2021 bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian,” kata KPT dalam satu kenyataan.

Enam kumpulan yang dibenarkan pulang ke kampus seawal 1 Mac adalah seperti berikut:

  1.  Pelajar dari program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas;
  2.  Pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian;
  3.  Pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid;
  4.  Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom;
  5.  Pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan
  6.  Pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University EnglishTest (MUET), antarabangsa dan badan profesional.

Pengajian di kampus yang dibenarkan akan dibuat dengan pematuhan prosedur operasi standard yang mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelajar, tambah kenyataan itu.

“Pelajar yang tidak termasuk dalam kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian,” kata kementerian.

IPT di seluruh negara menangguhkan pendaftaran fizikal pelajar baharu dan lama ke kampus sejak Oktober 2020, susulan peningkatan kes Covid-19 gelombang ketiga yang berlaku sejak akhir September sebelumnya.

Pergerakan Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Sementara itu, enam kumpulan pelajar berkenaan dari Semenanjung yang akan pulang ke Sabah dan Sarawak diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

Ujian calitan itu akan dibiayai oleh Kementerian Kesihatan, kata kenyataan itu.

Pelajar yang tiba di Sarawak pula diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke kampus, dengan kos makan minum dan kuarantin mulai 1 Mac 2021 ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

Pelajar dari Sabah dan Sarawak yang akan ke Semenanjung pula akan ditempatkan di pusat pengasingan yang ditentukan oleh IPT masing-masing, kata kenyataan itu.

Pelajar yang terlibat juga disaran untuk merujuk kepada SOP yang berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak. – 31 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen