Kes yang dicatat pada 2020 punca lonjakan Covid-19, kata KKM


Malaysia menyaksikan peningkatan kes baharu Covid-19 sehingga mencecah 5,000 jangkitan beberapa hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2021.

JUMLAH kes harian kes Covid-19 sehingga melebihi 5,000 kes dalam masa dua hari ini disebabkan oleh laporan lewat jangkitan baharu, termasuk daripada tahun lalu, kepada Kementerian Kesihatan.

“KKM ingin mengesahkan bahawa, situasi ini disebabkan oleh pelaporan lewat kes-kes ke CPRC Kebangsaan KKM termasuk kes-kes yang dikesan positif pada tahun 2020,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Situasi tersebut merujuk peningkatan jumlah jangkitan harian sebanyak 5,725 kes pada Jumaat, 5,728 semalam dan 5,298 hari ini. 

Dengan angka yang dicatat hari ini, kini 48,150 kes aktif Covid-19 direkodkan dalam negara.

Kementerian berkata lonjakan ini adalah hasil pemeriksaan bersasar di tempat kerja, pemeriksaan kontak rapat dan penyaringan kumpulan berisiko tinggi yang dilakukan secara besar-besaran di beberapa negeri.

Kementerian turut menambah pejabat kesihatan daerah (PKD) telah mengambil tindakan terhadap kes yang lewat dilaporkan.

“PKD telah melakukan pengasingan dan rawatan kes positif, pengesanan kontak dan kes aktif.”

Antara punca lain kelewatan laporan adalah berkaitan pendaftaran sistem laporan dalam talian, iaitu Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka), yang digunakan kemudahan kesihatan di sektor swasta. – 31 Januari, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen