SEBANYAK sembilan daripada 10 responden dalam kaji selidik 24 jam di media sosial The Malaysian Insight berkata mereka tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengawal pandemik Covid-19.
Dalam tinjauan 24 jam yang dibuat di Twitter The Malaysian Insight pada Jumaat, 96% daripada 2,450 responden berkata mereka tidak berpuas hati dengan cara bagaimana wabak Covid-19 dikekang oleh kerajaan. Hanya 4% berpuas hati.
Begitu juga di Facebook, 92% daripada 93 responden mengatakan tidak kepada soalan adakah mereka berpuas hati dengan bagaimana kerajaan mengawal pandemik itu.
Pengguna Twitter Aruna (@imfsea_aruna) pada hari Jumaat berkata, “Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba) harus dipecat segera.
“Menteri Pertahanan Ismail Sabri disinonimkan dengan kes Covid-19, membaca teks dan menerangkan jumlah orang yang ditangkap dan didenda semasa PKP. Tetapi tidak ada yang tahu berapa banyak denda yang dikumpulkan kerajaan,” kata Aruna.
Seorang pengguna Twitter lain, blueocean (@ayg16) meringkaskan kekecewaannya dengan mesej ini: “Kerajaan PN baik melingkup (menjahanamkan) diri. Tak tau buat kerja, tak tau malu. Masih seronok ambil duit gaji dari duit rakyat setiap bulan. Sekarang boleh pegang kuasa lagi lama sebab darurat.”
Mengulas keputusan itu, pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkta, beliau tidak terkejut dengan hasil tinjauan itu.
“Sangat jelas ramai yang tidak berpuas hati dengan PKP 2.0 dan Darurat kerana gagal menurunkan jumlah jangkitan selepa dua minggu mengumumkannya pada 11 Januari.
“Penguatkuasaan SOP yang lemah dan selalu bertukar-tukar dalam membuat keputusan kerajaan menunjukkan Majlis Keselamatan Nasional belum belajar apa-apa dari PKP 1.0.
“Yang lebih teruk lagi, menteri dan pegawai kerajaan menunjukkan contoh buruk dengan mencabul SOP secara terbuka seperti tidak mengamalkan penjarakan, memakai pelitup muka dan masih mengadakan program berkumpul secara besar-besaran. Ini menunjukkan kerajaan ini dwistandard.”
Ramai rakyat Malaysia merasakan mereka didenda secara tidak adil kerana melanggar SOP sementara menteri nampak bebas, kata bekas lulusan sains politik Universiti Malaya itu.
Menjelaskan penurunan drastik terhadap kerajaan, Hisomuddin berkata Perikatan telah memusatkan strategi media dan komunikasi pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa PKP 1.0 (18 Mac-29 April 2020).
“PN mempromosikan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang menjaga rakyat Malaysia, menggunakan bahasa sederhana dalam ucapannya dan memberikan pakej rangsangan baik melalui Prihatin yang disertakan dengan moratorium pinjaman automatik.
“Selain itu, kerajaan Muhyiddin membaca doa yang disiarkan siang dan malam di televisyen dan radio nasional. Unsur-unsur propaganda ini digunakan secara maksimum oleh pemerintah.
“Hasilnya, satu tinjauan mendapati populariti Muhyiddin mencecah 69% pada September dengan 93% berpuas hati dengan bagaimana kerajaan menangani krisis Covid-19.”
Namun PKP 2.0 menonjolkan bagaimana kerajaan tidak bersedia menangani Covid-19 dan ianya tercermin dalam tinjauan itu, kata Hisomuddin. – 31 Januari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen