KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 16 kluster baharu hari ini yang mana 13 daripadanya berkait dengan tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan ini jumlah kluster aktif akibat jangkitan di seluruh negara adalah sebanyak 389.
Katanya, Johor sahaja melaporkan enam kluster.
Kluster itu adalah Jalan Suasa dengan 29 kes, Jalan Riang (13 kes), Jalan Lombong (11 kes), Bintang Utama (29 kes), Bayu Tampoi (14 kes) dan Bukit Batu Grisek (18 kes).
Kata Noor Hisham, separuh daripada kluster dikesan melalui saringan kontak rapat sementara selebihnya dijumpai melalui ujian saringan sasar di kilang-kilang.
Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang masing-masing melaporkan dua kluster tempat kerja sementara Sabah melaporkan satu, katanya.
Beliau berkata, selain kluster tempat kerja, terdapat juga tiga kluster yang berkait dengan jangkitan dalam komuniti.
Noor Hisham berkata, kluster Lasah yang menjangkiti 24 orang di Kuala Kangsar, Perak berpunca dari majlis perkahwinan.
Jelasnya, kluster jangkitan dalam komuniti kedua dari 35 kes yang dikenali sebagai Tersat dilaporkan di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.
Beliau Tersat berkait dengan individu yang telah membuat perjalanan rentas negeri.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, kluster Taman Amalina yang melaporkan 13 kes ditemui di Raub, Pahang.
Kluster itu dikesan terkait dengan kes indeks simptomatik. – 30 Januari, 2021.
Komen