Malaysia sekali lagi catat kes baharu Covid-19 tertinggi 


Ragananthini Vethasalam

Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa kes-kes baharu itu telah menjadikan jumlah kes keseluruhan meningkat kepada 209,661 sementara kes-kes yang aktif berjumlah 47,388. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Januari, 2021.

MALAYSIA hari ini sekali lagi memecahkan rekod angka kes baharu Covid-19 dengan 5728 kes jangkitan dicatat dalam tempoh 24 jam lalu.

Rekod terbaru ini dicatat selepas 5725 kes direkodkan semalam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa kes-kes baharu itu telah menjadikan jumlah kes keseluruhan meningkat kepada 209,661 sementara kes-kes yang aktif berjumlah 47,388

Beliau berkata bahawa Malaysia turut melaporkan 13 kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian menjadi 746 orang.

Noor Hisham berkata, Selangor sekali lagi menduduki tempat pertama yang melaporkan 3285 kes diikuti Johor dan Kuala Lumpur masing-masing dengan 792 dan 480 kes jangkitan.

Beliau menambah bahawa hanya lima kes import dicatatkan hari ini.

Berhubung kes yang pulih, Noor Hisham berkata 3805 telah dibenarkan pulang dalam tempoh 24 jam lalu.

Dengan jumlah kes pulih terbaru itu, katanya, jumlah keseluruhan kes yang pulih daripada Covid-19 kini berjumlah 161,527.

Sementara itu, katanya, 319 pesakit kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), 120 orang daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 30 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen