KERAJAAN patut segera mengerahkan lebih banyak barisan hadapan dalam minggu mendatang bagi memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan selain mengadakan ujian besar-besaran, kata bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil lebih banyak barisan hadapan bukan sahaja kerana jumlah kes yang tinggi tetapi juga untuk mempercepatkan ujian agar virus dapat dicegah dari terus merebak.
“Langkah paling mustahak adalah segera meningkatkan jumlah kakitangan barisan hadapan untuk mempercepatkan proses kesemua rantaian kegiatan ujian, kontak rapat, isolasi, kuarantin, rawatan dan pemantauan pesakit dalam kuarantin.
“Seandainya semua proses ini lambat serta tergendala maka kita hanya mampu memainkan peranan ‘mengejar’ atau ‘mengekori’ sahaja virus ini, maka kadar transmisi virus ini akan terus melambung tinggi,” kata Dr Dzulkelfly dalam satu kenyataan hari ini.
Pengerusi Selangor Task Force Covid-19 (STFC) itu turut berkata, jika perkara ini tidak dilakukan segera, negeri ini akan paling teruk terkesan di mana jumlahnya sudah sedia tinggi.
“Selangor, sebagai negeri yang paling pesat dengan kepadatan penduduk serta kegiatan industri, perniagaan dan tapak-tapak pembinaannya, pasti akan menanggung padah yang paling teruk,” kata Dr Dzukelfy.
Beliau menjelaskan, Malaysia perlu mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mengekang agar pandemik itu berada di tahap kurang dari lima peratus dalam masyarakat.
“Dengan kata lain, kalau kita lakukan 1000 ujian saringan, keputusan positif umpama 200 kes positif adalah 20% kadar positif.
“Ini bermaksud virus sedang ‘berkeliaran’ dalam satu satu komuniti atau tempat perebakan,” kata ahli Parlimen Amanah itu.
Dr Dzulkefly juga berkata kes tertangguh dari saringan wajib pekerja kilang serta saringan di penjara perlu dilaporkan segera bagi mengekang Covid-19.
Beliau turut menekankan perlunya meningkat kemampuan teknologi dalam pengesanan kontak rapat memandangkan kini terpaksa menggunakan kaedah manual kerana aplikasi digital gagal.
“Selain itu, penting untuk meningkat kemampuan teknologi dalam pengesanan ‘kontak rapat’, yang hari ini amat lambat kerana kita menggunakan tenaga manusia dan bukannya apps digital,” kata Dr Dzulkefly.
STFC juga mengesyorkan satu program proaktif iaitu program Mencegah Tercetus Perebakan di Tapak-Tapak Penularan (POIS), program kerjasama pintar 3 penjuru antara kerajaan negeri, majikan dan NGO.
“Seandainya kolaborasi semua pihak diperkukuh dan pendekatan yang tepat diambil pada masa yang tepat, kita masih punyai harapan untuk mengekang peningkatan kes ini secara berkesan dengan pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’, yang digunapakai oleh negara-negara yang diiktiraf WHO sebagai berjaya membendung kemaraan pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Dari jumlah tertinggi 5,725 kes Covid-19 yang dilaporkan di seluruh negara semalam, Selangor melaporkan 3,126 kes, jumlah kes harian negeri tertinggi berbanding semua negeri di Malaysia.
Hampir separuh daripada kes di Selangor ini dilaporkan di daerah Petaling, yang meliputi kawasan paling padat di negeri ini.
Setakat ini, jumlah kes di Selangor adalah 62,189 dan mencatatkan 139 kematian. – 30 Januari, 2021.
Komen