PERSATUAN Hospital Swasta Malaysia menolak dakwaan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bahawa terdapat kelewatan dalam melaporkan kes Covid-19 yang dikesan di Selangor.
“Menurut tinjauan segera saya di hospital, mereka tidak melewatkan laporan,” kata presiden persatuan Dr Kuljit Singh kepada The Malaysian Insight.
Dr Kuljit menjawab kenyataan Amirudin pagi ini bahawa Jabatan Kesihatan Negeri akan mengeluarkan kompaun kepada hospital dan klinik swasta yang gagal melaporkan kes baharu Covid-19 pada hari yang sama.
“Pada masa-masa yang sukar ini kami di sektor swasta bekerja keras untuk bekerjasama dengan kerajaan.
“Tidak perlu ancam untuk denda dan hukum kerana kita boleh duduk membincangkan isu-isu dan menyelesaikannya untuk rakyat di negeri ini,” kata Dr Kuljit.
Beliau berkata bahawa hospital swasta terbuka untuk sebarang perbincangan bagi mengatasi segala kekurangan untuk menyelesaikan masalah secara aman.
Beliau turut menambah bahawa hospital swasta juga dibanjiri pesakit dan berusaha sedaya upaya untuk membantu kerajaan menangani wabak tersebut.
“Makmal dan hospital kami juga bekerja 24 jam untuk membantu kerajaan dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata sistem yang ada membolehkan kemudahan kesihatan swasta melaporkan kes ke pejabat kesihatan daerah setelah dikesan.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Amirudin berkata, terdapat tunggakan kes akibat kelewatan laporan kes yang ditemui di tempat kerja, penjara dan kemudahan penjagaan kesihatan swasta.
“Tunggakan ini berlaku hingga kes yang berlaku 10 hari yang lalu.”
Amirudin berkata, kegagalan membuat laporan dalam masa sebenar adalah antara sebab yang menyebabkan lonjakan angka kes di negeri ini. – 30 Januari, 2021.
Komen