Syarikat China dapat kontrak RTS Johor Bharu-Singapura


Cawangan China Communications Construction Company Limited memperoleh kontrak untuk membina jejambat dan terowong RTS Johor Bharu-Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2021.

CAWANGAN China Communications Construction Company Limited (CCCCL) di Singapura memperoleh kontrak bernilai S$180 juta (RM547 juta) untuk membina jejambat dan terowong bagi Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Menurut pengumuman Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura Jumaat lalu, jejambat itu akan dibina pada ketinggian 25 meter di Selat Johor dalam kawasan perairan Singapura dan ia akan dihubungkan dengan laluan darat serta mempunyai cabang terowong bawah tanah menghala ke stesen Woodlands North Laluan RTS.

Pembinaan jejambat dan terowong tersebut dijangka dimulakan pada suku kedua tahun ini.

Sistem RTS Singapura-Johor Bahru ialah laluan pertama antara Malaysia dengan Singapura. 

Panjangnya empat kilometer dan masing-masing mempunyai sebuah stesen di Malaysia dan Singapura. 

Pembinaannya dijangka siap menjelang 2024. – Bernama, 30 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen