Vaksin AstraZeneca tidak berkesan untuk individu lebih 65 tahun, kata Macron


Presiden Perancis Emmanuel Macron mendakwa vaksin Covid-19 AstraZeneca tidak berkesan ke atas individu berusia 65 tahun ke atas. – Gambar AFP, 30 Januari, 2021.

VAKSIN Covid-19 AstraZeneca tidak berkesan ke atas individu berusia 65 tahun ke atas, dakwa Presiden Perancis Emmanuel Macron semalam.

Macron berkata demikian ketika bercakap kepada media beberapa jam sebelum Agensi Perubatan Eropah (EMA) menyarankan vaksin AstraZeneca kepada individu dewasa di semua peringkat umur. Beliau turut mempersoalkan keputusan Britain untuk menangguhkan dos kedua vaksin berkenaan supaya lebih ramai penduduk diberi dos pertama. 

Tambahnya, tidak banyak maklumat mengenai vaksin yang dibangunkan firma bioteknologi Britain-Sweden dan Universiti Oxford itu.

“Kami berpendapat ia tidak berkesan ke atas individu 65 tahun ke atas.

“Apa yang boleh saya katakan secara rasmi hari ini, keputusan awal yang kami perolehi mendapati AstraZeneca tidak efektif bagi individu berusia 60 hingga 65 tahun,” katanya.

Menurut Macron, beliau masih menunggu keputusan dari EMA - yang dikeluarkan lewat kemudian - dan juga pihak berkuasa kesihatan Perancis yang “mempunyai data”.

“Saya tiada sebarang data, dan saya tiada pasukan saintis sendiri untuk meneliti data berkenaan,” katanya.

Mengulas strategi UK untuk memanjangkan masa antara pemberian dos pertama dan kedua supaya lebih ramai penduduk dapat disuntik dos pertama, Macron berkata matlamat utama bukan untuk memperoleh jumlah dos pertama semaksimum yang mungkin.

Dalam usaha mempercepatkan pemberian vaksin, pengarah kesihatan UK telah menangguhkan dos kedua vaksin sehingga 12 minggu.

“Apabila semua agensi kesihatan dan pengeluar beritahu anda mesti beri dua suntikan dalam berselang maksimum 28 hari supaya vaksin berkesan, seperti Pfizer/BioNTech, kemudian ada pula negara-negara dengan strategi untuk hanya memberi satu suntikan vaksin, saya tidak pasti yang ia benar-benar serius.

“Saintis berkata mutasi cepat berlaku jika hanya suntikan diberi, yang menyebabkan virus menyesuaikan diri, kerana seseorang tidak dilindungi sepenuhnya.

“Kita berbohong kepada orang ramai apabila kita beritahu ‘anda telah disuntik vaksin’. Anda diberi satu dos yang sepatutnya dua,” tambahnya. – AFP, 30 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen