APA gunanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes meningkat dan syarat makin longgar, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
“Pasar tani buka, pasar malam buka, kilang buka, tapak pembinaan buka, kedai perabot buka, kedai emas buka, kedai pakaian dalam mewah dan fesyen buka, shopping mall buka. Sampai 10 malam,” katanya melalui Facebook.
“Sebenarnya kita buat PKP untuk apa memandangkan kes baru Covid masih semakin naik dan syarat semakin longgar?
“Jika begini, hentikan sahaja PKP supaya adil pada semua.”
Tambah Najib, sejak hari pertama beliau telah mencadangkan kerajaan melaksanakan PKP lebih ketat selama dua minggu untuk memberi impak maksimum dalam usaha melawan Covid-19.
Kerajaan perlu beri bantuan secukupnya buat rakyat untuk menghadapi dua minggu yang tegas itu, tambahnya.
Dengan cara ini hospital dan barisan hadapan ada ruang bernafas, katanya.
“Sebaliknya, kini kita sudah menjalani 17 hari PKP setengah masak yang akhirnya terbazir.” tambahnya.
Malaysia hari ini menjadi negara paling teruk dalam rantau dengan jumlah kes melebihi 200,000.
Hari ini Malaysia melaporkan kes tertinggi dengan 5,725 kes. Ini menjadikan jumlah kes sebanyak 203,933.
Tambahnya, tekanan ke atas sistem kesihatan dan barisan hadapan semakin berat sementara rakyat disuruh kuarantin dan rawat kendiri di rumah.
Pada masa sama, kluster tempat kerja tercetus, namun semakin banyak kelonggaran untuk PKP diberikan oleh kerajaan.
“Kerajaan seolah-olah mahu keadaan kes Covid tetap tinggi dan berpanjangan.
“Maka, Rakyat perlu bersedia untuk menghadapi penularan Covid yang semakin parah pada bulan-bulan mendatang,” katanya.
Ujar Najib, sekolah dibuka semula juga menjadi persoalan besar, sedangkan ibu bapa risau sama ada untuk menghantar anak ke sekolah atau tidak kerana penularan Covid-19 yang tinggi. – 29 Januari, 2021.
Komen