MALAYSIA hari ini melaporkan jumlah kes harian tertinggi sejak Covid-19 dikesan tahun lalu dengan 5,725 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Noor Hisham berkata, kes terbaharu ini menjadikan jumlah kes kumulatif negara sebanyak 203,933.
Daripada kes dilaporkan hari ini, Selangor mencatatkan sebanyak 3,126 kes atau 54 peratus daripada jumlah jangkitan hari ini, jumlah kes dalam negeri paling tinggi setakat ini.
Kuala Lumpur dan Johor menjadi negeri kedua dan ketiga tertinggi dengan masing-masing mencatatkan 687 dan 684 kes.
Noor Hisham berkata, dari kes hari ini, 5,718 adalah jangkitan tempatan manakala tujuh kes import.
Tambahnya, hari ini merupakan hari ke-16 berturut-turut Malaysia mencatat lebih daripada 3,000 kes setiap hari.
Selain itu, Noor Hisham berkata 3,423 pesakit didiscaj, menjadikan kes aktif di negara ini 45,478.
Daripada jumlah itu, 301 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan 115 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Ujarnya lagi, Malaysia juga melaporkan 16 kematian hari ini, menjadikan jumlah kematian di negara ini 733 orang.
Jumlah kematian hari kedua paling tinggi, dengan yang paling tinggi dilaporkan pada 22 Januari, di mana 18 meninggal.
Semua mangsa yang dilaporkan hari ini adalah warga tempatan. – 29 Januari, 2021.

Komen