TIADA undang-undang yang memperuntukkan bahawa pengurusan kondominium, pangsapuri dan kawasan perumahan boleh mewajibkan penghuni menjalani saringan ujian Covid-19, kata kumpulan mewakili pengurus hartanah dan kemudahan.
“Kami, NGO mewakili pengurus hartanah dan kemudahan, berpandangan bahawa buat masa ini tiada peruntukan undang-undang yang memberi kebenaran kepada pihak pengurusan dan menyarankan supaya ahli-ahli kami dan semua pengamal berkaitan, badan pengurusan bersama dan perbadanan pengurusan tidak berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu juga menyebut pihak pengurusan hanya boleh berbuat demikian melainkan mendapat arahan rasmi berkenaan prosedur operasi standard (SOP) dari Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sehubungan itu, pengurus hartanah, badan pengurusan bersama dan perbadanan pengurusan dinasihatkan merujuk kepada pakar undang-undang terlebih dahulu.
Kenyataan ditandatangani Presiden Institut Pengurus Hartanah dan Kemudahan Malaysia (MIPFM) Adzman Shah Mohd Ariffin, Naib Presiden Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) Aziah Mohd Yusoff dan Presiden Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta Tanah dan Perunding Harta di Sektor Swasta Malaysia (PEPS) Michael Kong.
Menteri Kanan Ismail Sabri semalam berkata pengurusan kondominium, pangsapuri dan kawasan perumahan boleh mengarahkan penghuni menjalani ujian saringan Covid-19 untuk menjaga keselamatan penduduk.
“Kita tidak akan halang tindakan itu walaupun ia tiada dalam polisi MKN yang menyatakan sesiapa ingin masuk ke kawasan kondominium atau perumahan perlu melakukan ujian Covid-19,” katanya pada sidang media semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan mengenai beberapa badan pengurusan pangsapuri yang menuntut agar pekerja asing yang tinggal di bangunan mereka menjalani ujian Covid-19 untuk mengekang penularan dalam komuniti.
Peguam G K Ganesan berkata tiada kuasa yang diperuntukkan kepada perbadanan pengurusan atau pengurusan kondominium boleh mengarahkan penghuni menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum masuk ke premis kediaman.
“Perbadanan pengurusan tiada latihan perubatan. Jika pengurusan memberi notis seperti yang dicadangkan menteri, mereka berisiko bukan sahaja melanggar perlembagaan, common law, tetapi juga undang-undang jenayah.
“Mana-mana penghuni boleh memohon kepada mahkamah mengisytiharkan bahawa arahan tersebut tidak sah dan melanggar hak dalam perlembagaan,” kata peguam itu di blognya.
Tambah beliau, kenyataan Ismail Sabri semalam juga hanya akan mencetus panik kepada orang ramai.
“Jika kita ikut cakap menteri, di mana penghuni yang disyaki positif Covid-19 hendak tidur sementara bantuan perubatan sampai? Boleh menteri benarkan mereka tinggal di rumahnya?” – 29 Januari, 2021.
Komen