FIRMA bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Novavax semalam umum calon vaksin keluarannya menunjukkan tahap keberkesanan 89.3% melalui ujian klinikal fasa 3 di Britain.
Bagaimanapun, kadar keberkesanan vaksin agak rendah terhadap varian yang dikesan di Afrika Selatan, yang lebih mudah menular, dan firma itu berkata ia akan membangunkan vaksin baharu yang mensasarkan varian itu.
“NVX-CoV2373 berpotensi menyelesaikan krisis kesihatan global ketika ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Novavax Stanley Erck.
Ujian klinikal fasa 3 di Britain membabitkan 15,000 individu berusia dari 18 hingga 84 tahun, termasuk 27% sukarelawan berusia lebih 65 tahun.
Analisis pertama berdasarkan 62 kes, di mana 56 kes Covid-19 berada dalam kumpulan plasebo percubaan manakala enam lagi individu menerima NVX-CoV2373.
Analisis awal firma itu menyatakan varian B.1.1.7 yang menular di Britain dikesan pada lebih daripada 50% kes yang disahkan positif Covid-19.
Calon vaksin firma itu mulanya didapati berkesan 95.6% terhadap varian asal Covid-19, dan 85.6% terhadap varian B.1.1.7.
“Keputusan ini luar biasa, dan kami ingin membantu Novavx membangunkan vaksin ini,” kata ketua pasukan pakar ujian vaksin di United Kingdom, Clive Dix dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, keberkesanannya rendah sedikit berdasarkan ujian yang dijalankan di Afrika Selatan.
Kajian dijalankan ke atas lebih 4,400 pesakit dijangkiti varian B.1.351, yang lebih cepat menular di Afrika Selatan, dari September hingga pertengahan Januari.
Secara keseluruhannya, calon vaksin Novavax mencapai keberkesanan 49.4%, tetapi meningkat kepada 60%, melalui ujian ke atas 94% sukarelawan yang negatif HIV.
Novavax berkata ia mula membangunkan beberapa vaksin baharu untuk melawan Covid-19 sejak awal Januari dan menjangkakan akan mengumumkan calon vaksin paling berkesan beberapa hari akan datang sebelum memulakan ujian klinikal pada suku kedua tahun ini. – AFP, 29 Januari, 2021.
Komen