PELAJAR Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) mempersoalkan keengganan pihak pengurusan membenarkan mereka pulang ke rumah masing-masing selepas beberapa kes positif Covid-19 dikesan di kolej itu awal minggu ini.
Kluster Intan Delima yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan pada Selasa lalu dikaitkan dengan kolej matrikulasi di Kuala Pilah itu, yang terletak antara kawasan perumahan Taman Batu Intan dan Taman Bahagia Delima.
Setakat Selasa, 25 kes positif Covid-19 disahkan dalam kluster itu.
Pelajar KMNS memberitahu The Malaysian Insight penularan Covid-19 di kolej itu mengganggu emosi mereka, ditambah dengan rasa tertekan ‘dikurung’ kerana mereka disekat keluar dari asrama atau pergerakan mereka terhad.
Seorang pelajar Tahun Pertama mendakwa sangat keliru dengan apa yang berlaku kerana tidak mendapat sebarang maklumat yang jelas berhubung keadaan mereka di kolej itu.
The Malaysian Insight difahamkan apabila hampir 300 pelajar dikenakan kuarantin sejak 16 Januari lalu, semua pelajar lain juga dikenakan sekatan termasuk tidak boleh memesan atau membeli makanan dari luar, sebaliknya hanya membeli makanan di kafe kolej yang mereka dakwa mahal.
“Semua pelajar dilarang keluar. Tidak ada kelas bersemuka, tidak boleh ke padang malah hendak pergi ke koperasi pun tak boleh.
“Tapi selepas itu adalah pihak kolej bagi kelonggaran untuk kami keluar pergi koperasi cuma masa tertentu saja hanya beli keperluan penting atau keluarkan duit,” kata pelajar berumur 19 tahun itu yang enggan identitinya didedahkan.

The Malaysian Insight difahamkan pelajar-pelajar ini dikuarantin antaranya di surau, kediaman felo yang kosong serta di bilik atau unit kediaman untuk tetamu di asrama kolej.
Pelajar juga mengadu mengalami masalah akses Internet apabila pembelajaran dipindah ke dalam talian, dan keadaan itu menyebabkan mereka tambah tertekan.
“Kami dipaksa untuk belajar dalam talian di bilik tapi masalahnya akses internet sangat lambat. Sudah dua minggu sejak kelas bermula tapi masih ada yang susah untuk kejar silibus.
“Ramai pelajar rasa tak selesa dengan keadaan macam ini. Ada yang tertekan dan bimbang, termasuk saya,” katanya, yang mengambil jurusan sains.
Mereka juga tiada pilihan selain membeli makanan yang dijual di kafe kolej, yang harganya agak mahal, tambah pelajar itu.
Beliau menceritakan ada rakan-rakannya yang hanya makan roti yang dibeli dari koperasi.
“Di koperasi pula roti selalu habis sebab ada pelajar yang beli banyak sebab panik,” katanya.
Seorang lagi pelajar yang juga enggan didedahkan namanya memberi anggaran rata-rata mereka berbelanja sehingga RM15 sehari untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam.
“Harga makanan mahal, lepas itu terpaksa tambah belanja lagi untuk Internet. Kalau yang mampu tak apa, tapi yang tidak mampu macam mana?” kata pelajar Tahun Dua.
Pelajar jurusan perakaunan itu berkata penularan Covid-19 di kolej itu boleh dielakkan jika kerajaan mendengar suara mereka sebelum ini ketika mempersoalkan arahan wajib pulang ke kolej.
“Semuanya sebab arahan suruh pelajar balik untuk jawab peperiksaan padahal boleh saja buat peperiksaan dalam talian… disebabkan itu kami pelajar terdedah dengan Covid-19,” katanya, yang akan mengambil Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet).
The Malaysian Insight difahamkan ujian itu ditangguhkan bagi mereka yang positif Covid-19 atau menjalani kuarantin di kolej, sehingga ke satu tarikh lain yang akan ditetapkan.
Pelajar itu juga mendakwa pihak pengurusan kolej seperti tidak mahu berterus terang dan seolah-olah menyembunyikan perkara sebenar daripada mereka.
Hanya selepas penularan itu kecoh dalam kalangan pelajar barulah pihak pengurusan mengumumkan melalui aplikasi Telegram kolej bahawa ada kes positif Covid-19 di kolej itu, jelasnya.
“Tapi kita masih tidak tahu berapa yang kena, dapat tahu ada kluster ini pun orang lain yang beritahu.
“Kuarantin sekarang pun pengurusan kolej tidak beritahu sampai bila,” katanya.

Kluster Intan Delima
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa (26 Januari) mengumumkan Kluster Intan Delima antara tujuh kluster baharu yang dikesan setakat tengah hari itu.
“Kluster ini melibatkan sebuah institusi pendidikan awam yang terletak di antara Taman Bukit Intan dan Taman Bahagia Delima.
“Sehingga 26 Januari 2021, sejumlah 253 individu telah disaring, di mana 25 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.
Pengumuman itu menarik perhatian Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik yang meminta Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin dan Kementerian Pendidikan mengesahkan sama ada betul institusi yang dimaksudkan ialah KMNS.
Maszlee juga memberitahu The Malaysian Insight beliau menerima banyak maklumat, aduan dan rintihan daripada pelajar yang terlibat serta ibu bapa mereka.
Ibu bapa cemas
Perkembangan di KMNS mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang resah mengenangkan keadaan anak-anak mereka.
“Ibu bapa memang marahlah. Kalau sebelum ini ibu bapa nak jumpa kami tidak boleh masuk hanya di pagar saja,” kata seorang pelajar tahun dua aliran sains berusia 19 tahun.
Pelajar itu tidak menafikan bahawa mereka pernah diberi amaran supaya tidak menghebahkan keadaan di KMNS sama ada di media sosial ataupun kepada orang luar, jika tidak mahu dikenakan tindakan.
Pelajar yang sama juga berkata ada dalam kalangan rakan-rakannya yang seperti putus asa dan menimbang mahu berhenti dari kolej itu.
“Cuma kami fikir sebab tinggal enam bulan lagi nak tamat belajar jadi sayanglah kalau nak tarik diri sekarang. Tapi memang ramai sebenarnya nak berhenti,” katanya.

Jujurlah
Dalam pada itu, Maszlee yang bercakap kepada The Malaysian Insight menggesa kerajaan telus dan menenangkan ibu bapa yang kini cemas.
“Pihak kolej dan kementerian pendidikan Malaysia tidak telus memberitahu kepada pelajar dan ibu bapa tentang langkah-langkah yang mereka lakukan.
“Pihak kerajaan pun seakan menyembunyikan perkara tersebut sehingga menimbulkan banyak spekulasi dan mengundang kerisauan para pendidik pelajar dan ibu bapa mereka,” katanya, yang juga bekas menteri pendidikan.
Jelas Maszlee, luahan pelajar kepadanya jelas menunjukkan mereka dalam keadaan tertekan.
Sehingga semalam Kementerian Pendidikan belum lagi membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai Kluster Intan Delima dan kedudukan pelajar di KMNS.
Dalam pengumumannya mengenai operasi institusi pendidikan pada November lalu, Mohd Radzi berkata program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan kembali ke kolej pada 4 Januari.
Mereka juga tidak diwajibkan untuk menjalani saringan Covid-19 sebelum pulang ke kolej. Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob juga membuat pengumuman sama pada 15 Januari lalu, menjelang pembukaan sesi persekolahan pada minggu berikutnya.
Pembukaan semula itu adalah bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan semester pertama antara 6 hingga 13 Januari lalu, yang keputusannya akan dipakai untuk kemasukan ke universiti.
Kelmarin, pelajar KMNS menduduki ujian lisan bagi MUET, sehari selepas Kementerian Kesihatan mengumumkan Kluster Intan Baiduri. Ujian itu difahamkan bersambung pada minggu depan.
Kerajaan juga sebelum ini mengumumkan pelajar kolej matrikulasi di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid. Negeri Sembilan diisytiharkan negeri di bawah PKP bermula 22 Januari. – 29 Januari, 2021.
Komen