Pelancongan Pulau Pinang rancak tahun ini


Looi Sue-Chern

Gabungan LED di Taman Rahsia Avatar Pulau Pinang, di Tanjung Tokong ini merupakan antara tarikan pelancong dengan suasana warna a la psikedelik yang dapat membuatkan pengunjung khayal dengan keindahan buatan manusia ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 28 Disember, 2017.

SEKTOR pelancongan Pulau Pinang direkodkan mencacak naik tahun ini dengan meningkatnya sektor perniagaan termasuk industri perhotelan, lapangan terbang, hospital, terminal pelayaran.

Exco pelancongan negeri Danny Law berkata, statistik lapangan terbang menunjukkan peningkatan dalam ketibaan penumpang.

Bermula Januari sehingga September tahun ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merekodkan peningkatan ketibaan pelancong sejumlah 5.34 juta, meningkat 8.67% (4.91 juta penumpang) sepanjang tempoh sama tahun lalu.

“Untuk keseluruhan tahun 2016, kita dapat 6.7 juta penumpang yang turun di Pulau Pinang.

“Dengan meningkatnya jumlah penumpang yang tiba sehingga September, kami boleh jangka akan cecah 7.1 juta atau 7% (peningkatan) tahun ini secara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita di Komtar hari ini.

Law juga berkata sektor pelancongan perubatan juga bagus untuk tahun ini.

Tambahnya, Pulau Pinang telah merekodkan lebih RM259.3 juta jumlah hasil dengan jumlah pesakit luar negara seramai 187,376 untuk setengah tahun pertama tahun ini.

Tahun lalu, negeri itu merekodkan hasil lebih RM131.7 juta dengan 175,216 pesakit dalam tempoh sama.

“Pulau Pinang masih merupakan destinasi popular untuk rakyat Indonesia yang ingin mendapatkan rawatan perubatan. Mereka masih yang tertinggi dalam sektor ini,” kata Law.

Exco itu juga menambah terminal pelayaran antarabangsa di Swettenham Pier juga rancak tahun ini.

“Sehingga September, kami mendapat 125 panggilan oleh kapal pesiar antarabangsa. Kami yang tertinggi, diikuti Port Klang yang merekodkan 78 panggilan.

“Kami boleh jangka ketibaan pelayar di Pulau Pinang tahun ini akan lebih daripada tahun lepas yang sebanyak 136 panggilan sebab kami tahu pada Oktober, November, dan Disember adalah musim pelancong untuk elakkan cuaca sejuk di negara mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pulau Pinang Khoo Boo Lim juga melaporkan perkembangan positif dalam industri hotel.

Katanya, sehingga November, anggota MAH Penang merekodkan peningkatan kadar penghuni dalam setiap bulan, kecuali pada Januari yang turun sebanyak 2.47%.

“Penghuni meningkat saban bulan dari Februari hingga November tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu,” kata Khoo.

Kadar penghuni paling rendah pada Januari dengan 54.59%, manakala paling tinggi pada Ogos dengan 62.04%.

Peningkatan jumlah penghuni untuk tempoh 10 bulan tahun ini berbanding tahun lepas, ialah antara 1.48% hingga 7.37%.

Khoo berkata, jumlah itu diberikan oleh lebih 80 anggota MAH Penang termasuklah hotel tiga hingga lima bintang selain hotel butik.

Bagaimanapun, tambahnya, MAH tidak ada maklumat mengenai perniagaan Airbnb di Pulau Pinang.

“Sangat susah. Awak boleh tengok senarai mereka di internet tetapi mereka tidak sediakan jumlah penghuni,” katanya. – 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen