Sektor hartanah rancak walaupun PKP 2.0, kata ejen


Bernard Saw

Broker memfokuskan kawasan di mana lawatan dan pemeriksaan hartanah masih dibenarkan memandangkan tahap larangan pergerakan berlainan diterapkan di negeri yang berlainan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2021.

SEKTOR hartanah aktif di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua kerana lebih bersedia berdasarkan pengalaman semasa PKP pertama tahun lalu, kata ejen harta tanah.

Ejen dan syarikat perantara dibenarkan beroperasi di bawah PKP 2.0 dan sejak firma undang-undang dan pejabat tanah juga dibuka, “ada perniagaan yang perlu dibuat,” kata presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Lim Boon Ping.

Broker memfokuskan kawasan di mana lawatan dan pemeriksaan hartanah masih dibenarkan memandangkan tahap larangan pergerakan berlainan diterapkan di negeri yang berlainan.

Lim berkata, badan pengurusan beberapa kondominium beraras tinggi membenarkan pemeriksaan tapak oleh pembeli dan ejen, sementara yang lain tidak.

“Kami hanya ikut arahan dan bekerjasama dengan mereka yang membenarkan lawatan. Masih ada orang yang ingin melihat hartanah walaupun tidak sebanyak sebelum ini,” katanya.

Kata Lim, sementara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memberikan persetujuan kepada ejen hartanah dan syarikat untuk beroperasi sepanjang PKP, tidak ada garis panduan yang diberikan mengenai apakah pemeriksaan dan lawatan hartanah dibenarkan.

“Kami hanya teruskan dengan alasan ia dibenarkan asalkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Ejen mengguna pakai prinsip ‘makin sikit orang, makin bagus’ ketika membuat pemeriksaan hartanah dengan bakal pembeli.”

Lim berkata, MIEA telah memberitahu anggotanya untuk membenarkan lawatan kepada hanya beberapa orang sahaja, menjaga jarak fizikal dan memakai pelitup muka.

“Susah bagi kerajaan untuk keluarkan SOP asing untuk setiap sektor. Jadi, kita tengok apa contoh yang dibuat di luar negara dan membuat SOP kita sendiri,” katanya.

Setiausaha MIEA Sabah Belinda Chong memberitahu The Malaysian Insight, badan pengurusan kondominium di negeri itu kebanyakannya ketat dan mempunyai peraturan mereka sendiri untuk melihat hartanah.

“Hanya satu atau dua individu yang dibenarkan melihat hartanah, kecuali ejen. Semua SOP mesti dipatuhi. Namun lawatan itu tertakluk kepada persetujuan pemilik,” katanya.

Di Perak, Pengerusi MIEA negeri itu, Lee Jun Liang berkata, badan pengurusan harta berstrata sangat berhati-hati dan tidak membenarkan lawatan.

“Ada dasar ‘tanpa pelawat’ di kebanyakan hartanah berstrata di sini. Oleh itu, ejen beri tumpuan kepada hartanah tidak berstrata.”

Bagaimanapun, Lee berkata, bahagian pasaran hartanah tidaklah tinggi, merangkumi antara 10% dan 20% bahagian pasaran.

Sebilangan besar ejen telah menyiapkan bahan digital untuk memudahkan kerja mereka dan juga menggunakan media sosial untuk beriklan, kata Lim sambil menambah, ini adalah langkah-langkah yang dipelajari setelah PKP pertama.

“Sebagai contoh, jika anda tidak dapat tengok hartanah yang anda minat, ejen masih boleh tunjuk secara digital kepada anda. Ejen lebih bersedia kali ini berbanding tahun lalu,” katanya.

Impak PKP

Kesan PKP 2.0 ke atas sektor hartanah sukar untuk dijangka kerana masih kekurangan data. Bagaimanapun, kesannya tidaklah seteruk semasa PKP tahun lalu, kata Lim, presiden MIEA.

“Semasa PKP tahun lalu hampir tiada pendapatan. Firma guaman tutup, begitu juga pejabat hartanah. Kami hanya boleh terima wang deposit, tidak boleh bertemu pembeli untuk tandatangan perjanjian jual beli. Tetapi tidak pada kali ini, cuma masalah berkaitan lawatan dan pemeriksaan hartanah.

Menurut Lim, sektor hartanah mula pulih pada September dan trend itu dijangka berterusan tahun ini, walaupun memerlukan masa akibat sekatan pergerakan.

“Hendak kata lebih baik berbanding sebelum ini pun tidak juga, lagipun, pasaran perlahan beberapa tahun kebelakangan ini.” – 29 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen