Kereta api di Bukit Bendera kembali beroperasi Sabtu ini


Looi Sue-Chern

Perkhidmatan itu terpaksa dibekukan ketika ribut kencang pada 4 dan 5 November lalu yang mengakibatkan kerosakan teruk landasan kereta api itu, selain kehilangan pengunjung ketika musim cuti sekolah. – Gambar ihsan Facebook Tourism Malaysia, 28 Disember, 2017.

PENGUNJUNG Bukit Bendera, Pulau Pinang akan dapat menikmati panorama pulau mutiara itu selepas kereta api akan mula beroperasi semula bermula 6.30 pagi, Sabtu ini.

Perkhidmatan itu terpaksa dibekukan ketika ribut kencang pada 4 dan 5 November lalu yang mengakibatkan kerosakan teruk landasan kereta api itu, langsung kehilangan besar pengunjung ketika musim cuti sekolah.

Bukit yang terkenal itu juga menghadapi 194 tanah runtuh akibat ribut kencang itu, dan dikatakan sebagai paling buruk pernah berlaku di Pulau Pinang sejak tiga dekad lalu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerja-kerja pembaikan telah diarahkan pada 5 November lalu bagi kerja pembersihan pokok-pokok yang tumbang pada landasan itu. 

“Tapi pasukan pemulihan menghadapi pelbagai masalah. Paling utama ialah kurangnya akses untuk jentera berat di landasan itu.

“Kerja pembersihan tanah perlu dilakukan secara manual, secara praktikalnya menggunakan tangan, yang memakan masa yang panjang,” katanya pada sidang media hari ini.

Kerosakan landasan itu juga membuatkan pihak Perbadanan Bukit Bendera (PHC) mengimport alat ganti. Namun berlaku kelewatan kerana terdapat mogok perkhidmatan udara di lapangan terbang Frankfurt, Jerman, negara pembekal alat ganti itu.

“Alat ganti sampai pada 16 Disember lalu dan kerja pembaikan terkahir siap pada hari Krismas,” kata Guan Eng, menambah, kereta api itu telah diuji pada malam itu juga, diikuti dengan ujian keselamatan pada hari berikutnya.

Tambahnya, sejak semalam, kereta api itu telah pun beroperasi secara khas hanya untuk operator perniagaan dan pemegang saham.

Perkhidmatan khas itu akan berterusan sehingga esok bagi memudahkan persediaan untuk beroperasi secara penuh pada Sabtu ini.

Pengurus besar PHC Cheok Lay Leng berkata, pihak berwajib telah cuba buat yang terbaik bagi memastikan laluan mendaki bukit itu boleh digunakan orang awam semula selepas kejadian tanah runtuh lalu.

“Ada bahagian yang tak boleh dilalui. Tapi Laluan Warisan masih selamat.

“Sebagai langkah keselamatan, kami sarankan orang awam untuk mengikut tanda yang telah kami letakkan,” katanya, menambah, PHC juga mengalu-alukan pendapat orang awam berhubung isu itu. – 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen