KKM kesan 17 kluster baharu Covid-19


KKM mengesan 17 kluster baharu Covid-19, 15 membabitkan tempat kerja. – Gambar EPA, 27 Januari, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan mengenal pasti 17 kluster baharu Covid-19 hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah itu, 15 kluster berkait tempat kerja, tambahnya.

Sebanyak 1,130 kes daripada 3,680 kes harian yang dilaporkan dikesan di 17 kluster baharu. Kluster membabitkan tempat kerja menyumbang 95% atau 1,076 kes.

Enam kluster berkait tempat kerja telah dikesan di Johor, manakala empat di Kuala Lumpur, Selangor (3), Perak (1) dan Sabah (1).

Dr Noor Hisham berkata kluster tempat kerja pertama yang dikenal pasti adalah Parit Lanjut, melibatkan daerah Muar dan Tangkak di Johor. 

Lima lagi kluster tempat kerja yang dikesan di Johor adalah Industri Grisek, Jalan Trus, Jalan Medini, Tengah Tiga dan Pengerang Utara.

Di Kuala Lumpur, kluster membabitkan tempat kerja yang dikenal pasti adalah Tapak Bina Persiaran Tecoma, Jalan Danau, Jalan Yahya dan Jalan Pudu.

Manakala di Selangor, kluster babit tempat kerja yang dikesan adalah Tapak Bina Tanjung, Persiaran Perkilangan dan Jalan Mutiara.

Di Sabah, satu kluster tempat kerja dikesan iaitu Jalan Sulaman, sementara kluster Jalan Seri di Perak.

Bagi kluster melibatkan komuniti pula, dua kluster telah dikesan iaitu Bendayan di Sarawak, dan Jalan Pengkalan di Perak. 

Dengan 17 kluster baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 770 kluster telah dikesan di Malaysia sejak pandemik Covid-19 mula melanda negara.

Dr Noor Hisham juga sebanyak 366 kluster masih aktif, dengan 80 daripadanya menyumbang kes baharu hari ini.

Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Parit Lanjut (521 kes), diikuti Tapak Bina Persiaran Tecoma (157 kes) dan Industri Grisek (144 kes).

Tujuh kluster juga diisytiharkan tamat, menjadikan jumlah keseluruhan 404, katanya. – 27 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen