Kit ujian Covid-19 tak boleh dijual kepada orang awam, kata KP Kesihatan


Dr Noor Hisham berkata, MDA akan memantau pengedaran, pembekalan dan pengiklanan ujian kit kepada orang ramai dan akan bertindak terhadap sebarang pelanggaran sesuai dengan peruntukan Akta itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2021.

PENGEDARAN dan pembekalan kit ujian Covid-19 kepada orang ramai dilarang oleh undang-undang dan hanya dibenarkan untuk penggunaan profesional, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kit itu dikawal oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

“Sesiapa yang mengedar atau membekalkan kit ujian kepada orang awam dianggap melanggar syarat kebenaran untuk mengedar/membekal kit ujian,” katanya menerusi catatan di Facebook.

“Ini akan menyebabkan kebenaran ditarik dan orang itu boleh disabitkan atas kesalahan di bawah seksyen 5 (2) Akta 737 yang boleh membawa kepada denda sehingga dua ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Iklan kit ujian juga dilarang, dijatuhkan sebagai satu kesalahan di bawah seksyen 44 (3) Akta 737.

Mereka yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dr Noor Hisham berkata, MDA akan memantau pengedaran, pembekalan dan pengiklanan ujian kit kepada orang ramai dan akan bertindak terhadap sebarang pelanggaran sesuai dengan peruntukan Akta itu.

“MDA juga ingin menasihati orang ramai agar sentiasa membuat ujian Covid-19 di fasiliti kesihatan yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Pada 23 Januari, The Malaysian Insight melaporkan peniaga menjual kit ujian antigen di platform media sosial seperti Facebook.

Malah ada juga yang menjual kit ujian antibodi yang tidak disyorkan oleh Kementerian Kesihatan dan mendakwa kit berkenaan lebih berkesan berbanding varian antigen.

Mereka mendakwa ujian boleh dilakukan di rumah tanpa bantuan petugas kesihatan atau tanpa perlu ke hospital atau klinik.

Dr Noor Hisham memberitahu The Malaysian Insight, kit ujian kendiri tidak sah dan ketepatannya diragui.

Kit ujian untuk antibodi tidak disyorkan untuk diagnosis Covid-19 kerana kehadiran antibodi tidak mengesahkan jangkitan aktif manakala keputusan negatif tidak menjamin seseorang individu itu tidak dijangkiti.

Kit ujian yang digunakan phak berkuasa Malaysia adalah RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) atau kit ujian Antigen Rapid (RTK-AG).

Pemeriksaan mendapati kit ujian kendiri berkenaan berharga antara RM70 dan RM100 bergantung kepada jenama dan penjual.

Malah ada iklan yang mendakwa kit ujian Standard Q Ag dari Korea Selatan hanya mengambil masa 15 dan 30 minit untuk keputusan, dan menambah kit berharga RM88 itu dihasilkan oleh pengeluar yang sama untuk kit ujian yang digunakan Kementerian Kesihatan.

Seorang lagi peniaga yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 RTK- Antigen AccuFind memberi jaminan ketepatan keputusan ujian sehingga 99%.

Peniaga terbabit mendakwa keputusan ujian dari kit ini hanya mengambil masa satu hingga dua minit.

Seorang penjual yang mempromosikan kit antibodi berkata walaupun ujian RT-PCR mungkin menjadi tidak tepat dengan strain virus yang akan datang, antibodi itu masih dapat berfungsi dalam kes seperti itu. – 27 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen