KUIL Chettiar Nattukotai di Pulau Pinang telah melanggar undang-undang dengan mengadakan perarakan pedati perak sempena Thaipusam walaupun kerajaan negeri tidak membenarkan, kata Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy.
Beliau berkata, jawatankuasa kuil sepatutnya membincangkan perkara itu hari ini, namun mereka tetap mengadakan perarakan awal pagi ini memandangkan Menteri Sumber Manusia M Saravanan telah membuat surat sokongan kepada kuil itu.
“Saya faham bahawa kuil Chettiar yang lebih bersemangat dengan pengesahan dari Saravanan telah membuat persediaan untuk perarakan pedati perak mereka untuk jangka masa yang terhad mengikuti SOP (prosedur operasi standard) yang dikeluarkan untuk kuil Batu Caves.
“Sehingga kini, kerajaan negeri dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) belum memberikan kebenaran untuk perarakan pedati perak di Pulau Pinang.
“Saya faham bahawa apa yang dilakukan jawatankauasa kuil Chettiar sekarang tidak dapat diterima.
“Sekiranya mereka telah menentang arahan kerajaan negeri Pulau Pinang atau MKN, pihak berkuasa mesti bertindak tegas,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengecam kerajaan persekutuan kerana mencampuri urusan kerajaan negeri walaupun ramai yang menentang perayaan Thaipusam di negeri itu, termasuklah perarakan pedati.
“Ianya tidak kena-mengena dengan Saravanan untuk mencampuri urusan negeri Pulau Pinang.
“Jawatankuasa kuil Chettiar secara terang-terangan menentang negeri Pulau Pinang, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (penganjur rasmi Thaipusam) dan pelbagai agensi kerajaan yang melarang acara-acara yang berkaitan dengan perayaan Thaipusam,” kata Ramasamy.
Adun Perai itu turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap jawatankuasa kuil kerana meneruskan perarakan pedati walaupun kerajaan negeri tidak membenarkan.
“Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap jawatankuasa pengurusan kuil Chettiar kerana mengingkari SOP Thaipusam.
Sebelum ini Ramasamy telah mengingatkan kerajaan persekutuan untuk tidak membenarkan perarakan pedati Thaipusam diadakan dari Kuala Lumpur ke Batu Caves kerana pandemik Covid-19.
Katanya, MKN patut berpegang dengan keputusan melarang acara dan perarakan yang berkaitan Thaipusam di seluruh negara.
Ramasamy berkata, belum terlewat bagi MKN membatalkan kelulusan buat kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam mengadakan perarakan pada 27 dan 29 Januari. Thaipusam jatuh pada 28 Januari.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu turut berselingkuh dengan pihak pengurusan kuil Nattukotai Chettiar sejak 2016 apabila beliau menentang dua perarakan pedati berasingan untuk Thaipusam di negeri itu. – 27 Januari, 2021.
Komen