KERAJAAN akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) atau kembali kepada PKP bersyarat, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata keputusan itu akan dibuat sebelum 4 Februari, tarikh yang menjadi spekulasi pelaksanaan sekatan lebih ketat.
“Kami akan berbincang dan memutuskan perkara itu. Buat masa ini belum ada yang diputuskan. Ketua pengarah kesihatan menyampaikan kemungkinan untuk melaksanakan semula PKPB selepas 4 Februari, tetapi setakat ini belum dimuktamadkan,” katanya.
Tarikh 4 Februari disebut dalam surat yang dibocorkan oleh Dewan Perdagangan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (Eurocham Malaysia) kepada anggotanya mengenai pertemuan 22 Januari dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
Surat itu berkata Putrajaya mempertimbangkan penutupan semua sektor ekonomi sekiranya kadar jangkitan Covid-19 tidak turun selepas 4 Februari.
Surat itu juga bertulis yang Kementerian Kesihatan sudah menyatakan pendiriannya mengenai isu penutupan sepenuhnya.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas surat itu tersebar, Eurocham menafikan sekatan lebih ketat dibincangkan dalam pertemuannya dengan Miti.
“Eurocham Malaysia ingin menjelaskan bahawa meskipun Miti memaklumkan situasi yang semakin mendesak saat ini, dengan jumlah kes yang semakin meningkat, tidak ada disebut mengenai penutupan ekonomi serta-merta selepas 4 Februari.
“Oleh itu, kami harap agar orang ramai tetap fokus pada gambaran yang lebih besar - dalam menggalas tugas bersama bagi memastikan agar penutupan ekonomi dapat dielakkan” katanya dalam satu kenyataan petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan berikutnya. – 26 Januari, 2021.
Komen