Covid-19: 3 lagi sekolah rendah di Terengganu diarah tutup


Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan SK Pusat Cabang Tiga Dua di daerah Kuala Terengganu dan SK Bukit Apit di Hulu Terengganu ditutup selama tujuh hari selepas kakitangan sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2021.

TIGA lagi sekolah rendah di Terengganu diarah tutup selama tujuh hari bermula semalam sehingga 31 Januari depan kerana terdapat kakitangan sekolah yang telah disahkan positif Covid-19.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga  Dua di daerah Kuala Terengganu dan SK Bukit Apit di Hulu Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak pandemik tersebut di semua sekolah yang terlibat.

“Penutupan sementara sekolah-sekolah itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit. Sehubungan itu, semua aktiviti dalam kawasan sekolah perlu ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, 12 sekolah di daerah Kuala Terengganu juga telah diarah tutup iaitu SK Kesom, SK Bukit Petiti, SK Pulau Manis, SK Manir, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Kedai Buloh, SK Tok Dir, SK Pusat Kuala Ibai, SK Seri Budiman, SK Gong Tok Nasek, SK Sultan Sulaiman 1 dan SK Paloh. – Bernama, 26 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen