Jualan makanan laut merosot, gerai sayur di Pasar Selayang ditutup


Bernard Saw

Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang ditutup minggu lalu susulan adanya jangkitan Covid-19 dalam kalangan peniaga dan pekerjanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Januari, 2021.

PEMBORONG makanan laut di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang berdepan kerugian hampir 50% selepas kawasan itu ditutup minggu lalu susulan adanya jangkitan Covid-19 dalam kalangan peniaga dan pekerjanya.

Sementara itu peniaga buah-buahan dan sayur-sayuran telah memutuskan untuk menutup gerai mereka sehingga hasil pemeriksaan dilakukan semula walaupun penutupan selama dua hari sudah pun berakhir.

Sementara itu mereka berkata pelanggan juga meminta sayur-sayuran dan makanan laut dihantar kepada mereka apabila prosedur ketat dikenakan oleh pihak berkuasa bagi mengekang penyebaran virus.

Pada 19 Januari, sebanyak 118 kes Covid-19 dikesan di pasar borong yang melibatkan mereka di bahagian sayur-sayuran dan ikan.

Bahagian ikan ditutup selama lima hari dari 18 Januari untuk kerja nyah kuman.

Gerai buah-buahan dan sayur-sayuran juga diarahkan untuk ditutup dari 22 hingga 24 Januari tetapi kebanyakan daripada mereka masih belum kembali beroperasi sementara menunggu keputusan ujian Covid-19.

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur Sing Kian Hock memberitahu The Malaysian Insight bahawa perniagaan tidak kembali normal selepas pasar borong ditutup minggu lalu.

Beliau berkata penularan wabak di pasar itu menyebabkan hasil jualan turun 50%.

Beliau menambah bahawa walaupun terdapat tempahan daripada pasar raya dan pasar raya besar, hasil jualan masih rendah.

“Sebab lain adalah kerana gerai sayur dan ikan di kawasan sama. Sekarang dengan hanya gerai ikan yang dibuka, pelanggan tidak akan datang membeli. Jadi kami memilihi untuk tutup menutup perniagaan,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka memutuskan untuk menutup gerai sehingga semua keputusan ujian Covid19 diketahui semula.

Beliau berkata dari hampir 2,000 pemborong dan pekerja sayur-sayuran yang disaring, masih terdapat sekitar 100 keputusan yang masih belum diketahui.

“Kami akan berehat beberapa hari ini dan menunggu mereka menjalankan proses nyah kuman di kawasan ini. Bekalan untuk beberapa hari ini juga sudah dibatalkan,” katanya.

Susulan jangkitan Covid-19 di pasar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata akan memperketatkan kemasukan ke pasar sebagai sebahagian usaha untuk mengekang wabak berkenaan.

Individu yang berurusan dengan pemilik kedai, pekerja dan pemborong kini perlu menyerahkan salinan hasil pemeriksaan Covid-19 yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan dengan tarikh tidak melebihi 14 hari sebelum mereka dibenarkan masuk.

Individu itu juga mesti lulus pemeriksaan suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dan mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera di pintu masuk pasar serta mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. – 26 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen