POSTING Facebook bekas perdana menteri Najib Razak merekodkan 4.4 juta pembaca sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut semakan yang dibuat.
Antara 14 Januari dan 20 Januari, pemimpin berusia 67 tahun itu membuat 49 posting di Facebooknya dan menerima 4.4 juta pembaca.
Antara ahli politik, laman Facebook Najib menerima kunjungan tertinggi berbanding Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang hanya menerima 1.3 juta pengunjung dengan tujuh posting.
Ahli politik lain yang turut menerima pengunjung tertinggi adalah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman (522,000 menerusi 31 posting), Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim (490,000 menerusi 25 posting) dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (131,000 menerusi lima posting).
Di Facebook, Najib mendapat 4.2 juta like diikuti Dr Mahathir (3.7 juta), Anwar (1.9 juta), Muhyiddin (1.6 juta) dan Syed Saddiq (508,000).
Populariti Najib di Facebook itu bagaimanapun tidak mengejutkan Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.
“Beliau lebih banyak memfokuskan kepada media sosial berbanding yang lain. Tambahan pula isu yang Najib ketengahkan seperti ekonomi, sosial dan politik…isu yang popular dalam kalangan ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata Najib mampu berhubung dengan masyarakat kerana beliau sentiasa berada bersama golongan pertengahan dan kumpulan B40, kata Awang Azman.
“Dan saya percaya ia berkesan dan ada pengikutnya mula bersimpati dengan isu undang-undang yang dihadapinya.
“Rakyat juga ingat dengan skim komputer riba 1Malaysia dan pemberian bantuan wang tunai,” kata Awang Azman. – 26 Januari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen