KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau hanya memainkan peranan sebagai “utusan” dalam menangani pandemik Covid-19.
Dr Noor Hisham mula dikenali apabila mengadakan sidang media harian berhubung situasi Covid-19.
“Saya hanya penyampai,” katanya yang sebaliknya memuji kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertugas di sebalik tabir.
“Setiap kali kami mengadakan sidang media terdapat kira-kira 100-150 orang bekerja di sebalik tabir, menyediakan data dan sebagainya.
“Kami bekerja sebagai satu pasukan. Bukan saya sahaja. Adakalanya masyarakat mengatakan hanya saya yang membuat keputusan.
“Bukan saya tetapi Kementerian Kesihatan,” katanya dan menambah kementerian itu mempunyai lebih 250,000 kakitangan.
Katanya pujian sepatutnya diberikan kepada kementerian dan bukan dirinya sahaja.
Dr Noor Hisham juga berkata media turut memainkan peranan penting dalam membanteras berita palsu.
Hari ini genap setahun Malaysia berdepan dengan pandemik. – 25 Januari, 2021.
Komen