95 hospital swasta setuju terima pesakit Covid-19, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Jangkitan harian Covid-19 terus meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 186,849 dengan 689 kematian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

SEBANYAK 95 hospital swasta bersetuju merawat pesakit Covid-19 ketika sistem penjagaan kesihatan awam semakin hampir mencapai tahap maksimum.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian mengenal pasti 130 hospital swasta yang mempunyai kemampuan merawat kes Covid-19 dengan 95 daripadanya sudah bersetuju untuk menerima pesakit koronavirus.

Noor Hisham berkata ini termasuk hospital yang mempunyai kelengkapan untuk merawat kes Covid-19 yang lebih teruk.

Kementerian masih menunggu jawapan daripada hospital lain.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada 17 Januari yang menghantar pesakit ke hospital swasta akan mengurangkan tekanan terhadap hospital awam dan pekerja kesihatan yang semakin terbeban.

Jangkitan harian Covid-19 terus meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 186,849 dengan 689 kematian. 

Kes aktif semasa berjumlah 41,076 dengan 261 pesakit di unit rawatan rapi (ICU).

“Terdapat 1,286 katil, 65 katil di ICU dan 54 ventilator tersedia di 95 hospital swasta,” kata Noor Hisham semasa taklimat khas melalui Zoom hari ini.

“Ini adalah perkembangan yang baik kerana kita baharu sahaja berunding (dengan hospital swasta) pada 23 Januari. Responsnya baik.”

Beliau berkata sektor swasta membantu kementerian dalam gelombang kedua wabak ini, termasuk membenarkan kakitangan mereka berkhidmat di kemudahan kesihatan awam.

Mengulas mengenai kolaborasi antara sektor kesihatan awam dan swasta, Noor Hisham berkata kementerian akan membantu dalam hal meminjamkan hospital swasta ubatan yang diperlukan untuk rawatan Covid-19.

Beliau menambah pesakit ekspatriat termasuk mereka yang bekerja di kedutaan dan pesakit yang mempunyai kemampuan kewangan untuk dirawat di hospital swasta boleh meminta perkhidmatan mereka.

Noor Hisham berkata kerajaan lebih suka mengambil pendekatan lembut dengan melibatkan sektor penjagaan kesihatan swasta walaupun peruntukan di bawah Ordinan Darurat memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil alih sumber.

Beliau juga menambah integrasi awam-swasta adalah membuatkan hasil yang baik selepas kementerian mengumumkan uamg sumber kesihatan awam berada pada tahap kritikal.

Noor Hisham juga berkata sebelumnya kementerian berharap pertumbuhan kes baharu Covid-19 harian akan stabil dalam dua minggu ini ketika Malaysia melaporkan jumlah kes baharu paling rendah dalam lebih seminggu bagi tempoh 24 jam terakhir.

Negara melaporkan 3,048 kes baharu hari ini. Kali terakhir melaporkan angka rendah berbanding hari ini adalah pada 13 Januari, dengan 2,985 kes. – 25 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen