Pulau Pinang batal majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina ketua menteri


Majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina ketua menteri Pulau Pinang dibatalkan susulan ketidaktentuan situasi semasa akibat penularan pandemik Covid-19 ketika ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

KERAJAAN negeri Pulau Pinang memutuskan untuk membatalkan majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina ketua menteri yang dijadualkan berlangsung pada 13 Februari depan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang Teh Lai Heng berkata pembatalan Majlis Rumah Terbuka itu adalah berikutan ketidaktentuan situasi semasa akibat penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kerajaan negeri juga ingin memaklumkan kepada semua Adun, ahli Parlimen serta pemimpin masyarakat untuk mematuhi prosedur standard operasi yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara agar tidak menganjurkan sebarang Majlis Rumah Terbuka atau majlis keraian yang melibatkan perhimpunan awam walaupun secara kecil-kecilan,” menurutnya dalam kenyataan di Georgetown hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata penganjuran Sambutan Tahun Baharu Cina (Miao Hui) 2021 yang dirancang secara maya selama sembilan hari bermula 12 Februari 2021 akan diteruskan.

Katanya sepanjang tempoh itu, tiada penganjuran acara secara fizikal namun orang ramai masih boleh merasai pengalaman baharu tersebut menerusi platform secara dalam talian. – Bernama, 25 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen