PENJARA Taiping dan kuarters kakitangannya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu selepas merekodkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail Sabri menjelaskan PKPD di penjara terbabit akan berkuatkuasa pada 26 Januari hingga 8 Februari.
Ia susulan perintah yang sama turut dikenakan di Penjara Bentong semalam.
“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat lonjakan kes Covid-19 di penjara Taiping dan kuarters kakitangannya.
“Setakat 23 Januari, 43 kes dikesan melibatkan 40 banduan dan tiga kakitangan penjara.
“Kerajaan memutuskan untuk mengenakan PKPD bermula 26 Januari hingga 8 Februari. Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan bersasar ke atas semua banduan dan kakitangan penjara berkenaan,” katanya.
“Prosedur operasi standard PKPD di penjara berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, termasuk keluar masuk penduduk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan,” katanya.
Semalam kerajaan mengenakan PKPD di penjara Bentong selepas merekodkan 615 kes positif membabitkan 574 banduan, 34 kakitangan dan lima ahli keluarga mereka. – 25 Januari, 2021.
Komen