KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula aspek keselamatan guru yang mengajar calon peperiksaan awam di sekolah secara bersemuka, selepas 21 guru di Terengganu dilaporkan positif Covid-19.
Setiausaha agungnya Harry Tan Huat Hock berkata semua guru itu dipercayai dijangkiti Covid-19 selepas diarah menghadiri bengkel pembelajaran dan pengajaran di rumah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Terengganu yang dibuat secara bersemuka.
“Keghairahan pihak PPD Kuala Terengganu yang mengumpulkan guru-guru tersebut untuk mengikuti bengkel ini telah mengundang risiko dijangkiti virus tersebut.
“Persoalannya adakah pihak mereka tidak peka dengan keadaan semasa dan adakah guru guru tersebut telah diberikan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka, baju overcoat atau mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas Tan, NUTP kesan dan kecewa dengan kejadian tersebut, apabila guru dipaksa untuk hadir secara fizikal ke bengkel ketika situasi pandemik Covid -19 semakin kritikal.
“Justeru, pihak NUTP menyeru agar pihak Kementerian Pendidikan dapat mengkaji semula aspek keselamatan guru-guru yang kini mengajar pelajar-pelajar Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM),” tambahnya.
NUTP mahu pihak kementerian menyediakan PPE kepada guru-guru agar keselamatan dan kesihatan mereka lebih terjamin.
Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan 10 sekolah di Terengganu ditutup selama tujuh hari untuk disanitasi susulan terdapat kes positif Covid-19, sementara laporan berita TV3 menyebut 21 guru dijangkiti.
Dalam pada itu, NUTP turut mengecam tindakan beberapa sekolah yang memaksa guru mengajar dalam tempoh masa yang panjang dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang, berbanding waktu rasmi sesi pembelajaran dari 7.30 pagi hingga 2.30 petang.
NUTP mahu jadual keberadaan di dalam kelas atau pembelajaran dalam talian dapat diselaraskan di semua sekolah, kata Tan.
“Masa yang terlalu lama di sekolah sudah tentu melemahkan semangat serta minat pelajar untuk membuat persediaan bagi menghadapi SPM dan STPM kelak.
“Begitu juga dengan guru-guru yang bertungkus-lumus menyedia dan mengajar secara PdPR sebelum ini,” katanya. – 25 Januari, 2021.
Komen