Pastikan pendatang asing juga diberi vaksin, kata kumpulan hak asasi


Alfian Z.M. Tahir

Koalisi Buruh Migran Berdaulat (MWR2R) mahu pekerja migran, pencari suaka dan pasangan warga asing juga diberi vaksin di bawah program vaksinasi Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

PEKERJA migran, pencari suaka dan pasangan warga asing tidak boleh dikecualikan dari mendapat vaksin di bawah program vaksinasi Covid-19, kata Koalisi Buruh Migran Berdaulat (MWR2R).

Tenaganita, sebuah kumpulan dalam koalisi ini berkata usaha perlu dilakukan bagi memastikan semua orang dapat mengakses program vaksinasi dan tidak dikecualikan atas dasar apa pun.

“Ketika kerajaan menyusun rancangannya untuk program vaksinasi Covid-19, kami mendesak agar tidak ada orang di Malaysia yang dikecualikan.

“Kami mendesak kerajaan untuk memastikan keadaan setiap orang dipertimbangkan. Ini termasuk situasi dihadapi pekerja yang didokumentasikan, pekerja tanpa dojumen, pekerja di pelbagai sektor termasuk pekerja rumah tangga, semua yang berada dalam komuniti pelarian, pasangan asing, tanpa kewarganegaraan dan lain-lain.

“Jika kita tidak melakukannya, akan ada jurang yang serius dalam kemampuan usaha vaksinasi untuk membuat perbezaan terhadap pandemik yang diharapkan oleh ramai orang,” kata Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das dalam satu sidang media maya mengenai masalah pekerja migran di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin minggu lalu berkata bahawa Malaysia berada di landasan yang betul untuk menerima bekalan vaksin Covid-19 bulan depan.

Putrajaya telah memberikan dana sebanyak RM2.05 bilion (AS$ 504.4 juta) untuk pemerolehan vaksin Covid1-19 untuk menyuntik 82.8 % penduduk.

Kos tersebut merangkumi perjanjian yang ditandatangani dengan Covax, Pfizer dan AstraZeneca serta tiga tawaran lain yang masih belum dimuktamadkan. – 25 Januari, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen