Setahun berlalu, Covid-19 masih belum berakhir, kata KP kesihatan


PKP 2.0 dijadualkan berakhir 4 Februari tetapi mungkin akan dilanjutkan lagi jika jumlah jangkitan harian Covid-19 masih tidak dapat dikawal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 25 Januari, 2021.

PANDEMIK Covid-19 masih belum nampak bayang akan berakhir walaupun selepas setahun kita berjuang melawannya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ia amat menyedihkan saya yang kita sudah mengharungi setahun melawan Covid-19 di negara kita.

“Penamatnya masih belum kelihatan. Namun, di sebalik keletihan mental dan fizikal, kita perlu terus bertahan dan melawan,” katanya di Facebook.

Beliau menggesa setiap individu di negara ini memainkan peranan dalam memastikan pandemik dapat ditewaskan.

 “Semua orang, tidak kira siapa anda, perlu menggalas tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita bersama-sama,” katanya.

Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai topeng pelitup muka, mencuci tangan dan melakukan penjarakan social.

“Sila kekal berada di rumah jika tiada perkara kecemasan di luar. Bersama kita akan dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Kita mesti bersatu dan bersama dalam perjuangan yang masih diteruskan,” katanya.

Pada 24 Januari, 2020 tiga kes pertama yang dikenali sebagai koronavirus disahkan di Malaysia.

Keesokan harinya, bekas menteri kesihatan  Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan tiga kes itu membabitkan warga China dari Wuhan, yang masuk ke negara ini dari Singapura menerusi Johor Bahru.

Tiga kes itu adalah saudara rapat iaitu warga China berusia 66 tahun, isterinya berusia 65 tahun dan cucu lelaki mereka berusia 11 dan dua tahun.

Lelaki terbabit menjadi kes pertama disahkan di Singapura, sementara isteri dan cucunya dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Sejak itu, Malaysia merekodkan 183,801 ke dengan 678 kematian dengan lebih 141,000 pulih sepenuhnya.

Kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk kali kedua bermula 13 Januari lalu bagi membendung penularan wabak itu.

PKP pada masa ini dijadualkan berakhir 4 Februari tetapi mungkin akan dilanjutkan lagi jika jumlah jangkitan harian masih tidak dapat dikawal.

Kerajaan juga mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos, bagi memberi tumpuan kepada usaha melawan virus itu dengan mengetepikan krisis politik.

PKP kali pertama dikuatkuasakan pada Mac hingga Jun tahun lalu. Sejak itu, beberapa fasa PKP dikuatkuasakan bergantung kepada tahap kes positif di setiap negeri. – 25 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen