Batal acara perjalanan pedati Thaipusam elak kluster Covid-19, kata Ramasamy


Pergerakan kereta berhias Tuhan Muruga dihadkan kepada empat jam, dan muzik atau lagu keagamaan tidak boleh dipasang mengiringi kereta berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

SUKAR untuk pihak berkuasa mencegah penganut Hindu daripada berhimpun atau mengikut perarakan Tuhan Muraga menuju kuil Batu Caves di Kuala Lumpur sempena sambutan Thaipusam, kata P Ramasamy.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata walaupun Majlis Keselamatan Negeri (MKN) membenarkan kereta berhias itu digerakkan dari kuil Maha Mariamman di Jalan Tun HS Lee ke Batu Caves, perjalanan itu menarik ramai penganut, walaupun larangan dikenakan.

“Bagaimana keseluruhan perjalanan itu akan dibuat amat menggusarkan. Walaupun tidak ada perarakan, tetapi realitinya ia akan pasti berlaku.

“Sebaik saja kereta berhias itu mula bergerak dengan 10 orang mengiringinya, adakah jalan yang dilaluinya akan ditutup di kedua-dua laluan?

“Jika jalan ditutup, bagaimana anggota keselamatan hendak menghalang penganut daripada berkumpul atau berjalan bersama-sama kereta berhias itu?

“Perlu diingat, ini adalah upacara keagamaan di mana penganut akan mahu berada di depan kereta itu untuk memenuhi janji agama mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa semalam berkata kereta berhias Tuhan Muruga boleh bergerak ke Batu Caves dengan syarat ia tidak berhenti di mana-mana sepanjang perjalanan itu.

Beliau berkata tidak ada perkumpulan dibenarkan mengikut kereta berhias itu, dan hanya 10 penganut dibenarkan, sementara muzik juga tidak boleh dipasang.

Pergerakan kereta itu akan dihadkan kepada empat jam, dan muzik atau lagu keagamaan tidak boleh dipasang mengiringi kereta berkenaan.

Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memastikan semua protocol pencegahan Covid-19 dipatuhi.

Kereta berhias itu akan bergerak dari Kuala Lumpur ke Batu Caves pada 27 Januari dan kembali pada 30 Januari. Thaipusam disambut pada 28 Januari. – 25 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen