DEWAN Perdagangan dan Perindustrian Kesatuan Eropah-Malaysia (Eurocham Malaysia) menafikan laporan berdasarkan surat kepada anggotanya bahawa Malaysia akan melaksanakan sekatan pergerakan lebih ketat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada 4 Februari depan.
Dalam satu kenyataan, Eurocham berkata bahawa tidak ada kenyataan mengenai sekatan lebih ketat yang dilaporkan selepas sebuah pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) pada Jumaat lalu.
“Eurocham Malaysia ingin menjelaskan bahawa meskipun Miti memaklumkan situasi yang semakin mendesak saat ini, dengan jumlah kes yang semakin meningkat, tidak ada disebut mengenai penutupan ekonomi serta-merta selepas 4 Februari.
“Oleh itu, kami harap agar orang ramai tetap fokus pada gambaran yang lebih besar - dalam menggalas tugas bersama bagi memastikan agar penutupan ekonomi dapat dielakkan” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
Dewan perniagaan itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas surat dalaman kepada ahli-ahli dewannya yang menyatakan bahawa kerajaan Malaysia akan mengumumkan PKP lebih ketat selepas 4 Februari depan sekiranya kadar jangkitan Covid-19 tidak menurun.
Eurocham berkata pertemuan antara Miti dan perwakilannya adalah pertemuan tidak rasmi yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan dalam melandaikan keluk Covid-19 - dan kesan ekonomi yang mungkin terjadi jika komuniti itu tidak memainkan peranan yang aktif.
“Walaupun kita memusatkan perhatian pada pandemik dan kesan negatifnya terhadap ekonomi, penting juga untuk melihat berapa banyak yang telah dilakukan kerajaan Malaysia demi rakyat, dan perhatikan bahawa semua orang, dari masyarakat massa hingga komuniti perniagaan, mempunyai tanggungjawab untuk melakukan apa yang kita mampu untuk meratakan keluk jangkitan”
“Terdapat banyak laporan di media mengenai kluster jangkitan yang berkaitan dengan pelbagai kilang, tapak pembinaan dan tempat kerja lain. Adalah mustahak kita mendesak komuniti perniagaan untuk memandang serius perkara ini dan yang lebih mustahak adalah menggalas tugas mereka, dengan melabur untuk membantu melaksanakan SOP yang ketat bagi mengelakkan PKP,” kata ketua Eurocham, Oliver Roche. – 24 Januari, 2021.
Komen